Sabtu, 25 November 2023 | 1:56pm
Pemain Kedah menjalani latihan menjelang aksi menentang Kelantan FC malam esok. - Foto KDA FC
Pemain Kedah menjalani latihan menjelang aksi menentang Kelantan FC malam esok. - Foto KDA FC

Kedah tak boleh tumbang di Kota Bharu - Nafuzi

ALOR SETAR: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) wajib memastikan tiga mata menjadi milik mereka apabila bertandang ke Kota Bharu untuk menentang Kelantan FC pada saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, malam esok.

Pengendalinya Nafuzi Zain berkata, kegagalan membawa pulang tiga mata boleh melenyapkan impian Sang Kenari untuk mendaki ke tangga kedua musim ini.

"Jadi ini adalah laluan penting untuk memburu tiga mata dalam usaha memastikan peluang menuju ke tangga kedua liga dapat dicapai kerana baki tiga perlawanan yang tinggal kita perlu menang kesemuanya untuk mencapai misi musim ini.

"Kami perlu menang ke atas Kelantan terlebih dahulu, kemudian Selangor dan terakhir Sabah. Jika kami keciciran mata menentang Kelantan, kami sudah dikira tersingkir untuk menaiki tangga kedua.

"Jika ada peluang pun ianya sangat tipis kerana kita perlu bergantung kepada keputusan pasukan lain untuk menentukan kedudukan yang kita sasarkan," katanya.

Nafuzi juga berkata aksi berdepan Kelantan FC di tempat lawan kali ini tidak semudah yang diramalkan kerana tuan rumah sudah pasti memiliki aura yang boleh memberi cabaran berliku buat Kedah yang bertandang ke sana.

"Kita semua tahu dan selalu lihat semangat Kelantan akan melonjak apabila beraksi di tempat sendiri ditambah pula dengan kehadiran penyokong mereka.

"Justeru kami perlu buat percaturan yang terbaik bagi memastikan tiga mata dapat dikutip," katanya.

Rekod pertembungan musim ini menyaksikan Kedah menundukkan Kelantan 5-0 pada aksi pertama di Stadium Darul Aman, 19 Mei lalu.

Berita Harian X