Sabtu, 25 November 2023 | 12:35pm
Pemain Terengganu FC, Habib Haron diasak pemain Sabah FC, Darren Lok pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. NSTP/GHAZALI KORI
Pemain Terengganu FC, Habib Haron diasak pemain Sabah FC, Darren Lok pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. NSTP/GHAZALI KORI

Steinbruckner dedah punca TFC dibelasah Sabah

KUALA TERENGGANU: Pengendali Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner akui aksi serba tidak menjadi yang diperagakan pemainnya menjadi faktor pasukannya dibelasah Sabah FC 4-0 pada aksi Liga Super malam tadi.

Lebih memeritkan kekalahan itu hadir di gelanggang sendiri di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak dalam keadaan padang yang basah berikutan hujan berterusan yang melanda di negeri ini.

Pada perlawanan yang disaksikan lebih 2,000 penonton itu, ketiadaan lima tonggak pertahanan berikutan masalah kecederaan memudahkan tugasan empat pemain skuad The Rhinos iaitu Ramon Macedo, Saddil Ramdani, Miguel Cifuentes dan Muhammad Jafri Firdaus Chew merobek gawang yang dikawal Suhaimi Husin sehingga bocor sebanyak empat kali.

Bagaimanapun jurulatih kelahiran Croatia itu enggan mencipta alasan, sebaliknya sedar aksi buruk diperagakan anak buahnya itu yang bagaikan 'hilang' di setiap posisi mengakibatkan misi tiga mata lebur begitu sahaja.

Malah impian finalis Piala Malaysia musim ini itu untuk menamatkan saingan liga sekurang-kurangnya di tempat kelima musnah selepas ketinggalan mata agak jauh dengan pasukan di tangga kelima iaitu Sri Pahang FC yang mengutip 44 mata.

"Kita secara taktikal hilang kedudukan dalam setiap segmen bola sepak bermula dari babak pertama perlawanan lagi sehingga lawan berjaya menjaringkan tiga gol.

"Ketiadaan empat tonggak pertahanan yang mengalami kecederaan jelas memperlihatkan kelemahan di posisi berkenaan biarpun pemain yang diturunkan beraksi dengan bersungguh-sungguh.

"Tapi saya tidak mahu menyalahkan mereka selepas aksi tidak bermaya pasukan, malah saya juga enggan mencipta alasan atas kekalahan itu, lagipun perlawanan sudah selesai.

"Tugasan terkini kita akan ke Australia pada Ahad ini berdepan kelab negara itu dalam saingan Piala AFC pusingan kedua," katanya selepas tamat perlawanan.

Berita Harian X