Sabtu, 25 November 2023 | 12:26pm
Pemain Sabah FC, Rizal Ghazali (dua kanan) diasak pemain TFC pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. NSTP/GHAZALI KORI
Pemain Sabah FC, Rizal Ghazali (dua kanan) diasak pemain TFC pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. NSTP/GHAZALI KORI

Kim Swee idam tempat ketiga

KUALA TERENGGANU: Selepas membelasah Terengganu FC (TFC) 4-0 malam tadi, jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee idam mahu menamatkan kedudukan lebih baik dalam saingan Liga Super musim ini.

Jelas bekas pengendali skuad kebangsaan itu, peluang untuk mengejar sekurang-kurangnya di tempat ketiga liga masih terbuka luas walaupun hanya berbaki dua perlawanan lagi.

Jelasnya ini kerana perbezaan mata yang tidak jauh dengan pasukan di tangga ketiga liga, Kedah Darul Aman FC (KDA FC) yang mengumpul 50 mata manakala Sabah di tangga keempat dengan 48 mata, namun skuad dari Utara itu mempunyai baki tiga perlawanan lagi.

"Pemain harus kekal fokus dengan perancangan yang diatur kerana berbaki dua perlawanan lagi kita tidak ingin kehilangan mata dalam misi mengintai di kedudukan yang lebih baik berbanding terkini di tangga keempat liga.

"Kami masih berpeluang untuk menamatkan saingan liga sekurang-kurangnya di tempat ketiga, jadi kami akan memberikan tekanan kepada Kedah, tapi saya ingatkan kepada pemain agar melihat daripada satu perlawanan ke satu perlawanan.

"Selepas ini kita akan beraksi menentang kelab Singapura di tempat lawan dalam saingan Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) sebelum kita kembali beraksi dalam saingan Liga Super menentang Perak pada 3 Disember di tempat lawan dan terakhir menentang Kedah pada 17 Disember di tempat kami," katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan malam tadi.

Mengulas perlawanan itu, beliau gembira kerana anak buahnya berjaya menyempurnakan peluang yang dicipta dengan jaringan biarpun beraksi di tempat lawan dalam keadaan padang yang basah disebabkan hujan pada musim Monsun Timur Laut ini.

"Kita menyempurnakan peluang-peluang yang dicipta terutama pada babak pertama dan apabila kita berjaya mendapatkan tiga gol, pastinya memberikan kelebihan kepada kita sekali gus menyukarkan pasukan TFC untuk kembali bangkit.

"Tambahan pula semua pemain beraksi dengan baik terutama pemain yang baharu pulang daripada mewakili pasukan kebangsaan kerana mereka menunjukkan komitmen yang tinggi," katanya.

Pada perlawanan itu, tiga gol skuad The Rhinos disumbangkan pemain import iaitu Ramon Macedo, Saddil Ramdani dan Miguel Cifuentes pada babak pertama dan satu gol lagi diperoleh menerusi Muhammad Jafri Firdaus Chew pada babak kedua perlawanan.

Berita Harian X