Sabtu, 25 November 2023 | 12:19pm
Pengurus Manchester City, Pep Guardiola percaya kelab itu tidak melanggar peraturan kewangan EPL selagi tidak dibukti bersalah. – Foto premierleague.com
Pengurus Manchester City, Pep Guardiola percaya kelab itu tidak melanggar peraturan kewangan EPL selagi tidak dibukti bersalah. – Foto premierleague.com

City tak bersalah hingga dibukti bersalah - Guardiola

MANCHESTER, England: Manchester City tidak bersalah hingga dibuktikan bersalah terhadap lebih 100 pertuduhan melanggar peraturan kewangan Liga Perdana Inggeris, kata pengurus Pep Guardiola semalam.

Minggu lalu Everton dikenakan hukuman pemotongan 10 mata kerana melanggar peraturan keuntungan dan kemampanan (PSR).

Juara bertahan City mendahului liga dengan satu mata di depan Liverpool, yang akan ditemui mereka malam ini, dan Arsenal.

"Kenapa saya percaya (kami tidak bersalah)?" Guardiola memberitahu wartawan semalam. "Peguam akan membuat pembelaan di hadapan hakim. Kami tunggu dan selepas itu kami menerima resolusi."

Hukuman terhadap Everton mencetus bantahan daripada penyokong pasukan lain dalam liga yang mahu City berdepan hukuman sama.

"Saya tidak akan menyatakan satu perkataan pun mengenai Everton kerana saya tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku. Ia dua kes yang sama sekali berbeza," kata Guardiola.

"Saya tahu orang ramai berkata, 'Kenapa City tidak diturunkan ke Liga Konferens' (Liga Kebangsaan dan divisyen bawahan dalam piramid bola sepak Inggeris). Tetapi tunggu sekejap. Ia dua kes yang berbeza, ia tidak sama. Salah satunya lebih panjang, lebih rumit."

Guardiola, yang mengemudi City merangkul kejuaraan Liga Juara-Juara sulung mereka musim lalu untuk muncul kelab Inggeris kedua selepas Manchester United memenangi treble, ditanya sama ada beliau akan meletak jawatan jika mereka diturunkan.

"Anda menyoal saya seperti kami sudah dihukum. Pada masa ini, kami tidak bersalah," kata warga Sepanyol itu.

"Ada lebih banyak peluang saya akan kekal jika kami berada dalam Liga Satu berbanding jika kami memenangi Liga Juara-Juara." – REUTERS

Berita Harian X