Sabtu, 25 November 2023 | 11:11am
Penjaga gol Manchester United, Andre Onana (kanan) ketika beraksi menentang Sheffield United bulan lalu. – Foto premierleague.com
Penjaga gol Manchester United, Andre Onana (kanan) ketika beraksi menentang Sheffield United bulan lalu. – Foto premierleague.com

Onana sedia turun jumpa Everton

MANCHESTER, England: Penjaga gol Manchester United, Andre Onana bersedia untuk turun berdepan Everton pada aksi Liga Perdana Inggeris malam esok namun Rasmus Hojlund mungkin tidak, kata pengurus Erik ten Hag semalam.

Onana mengalami kecederaan beraksi untuk Cameroon ketika menang 3-0 ke atas Mauritius pada aksi kelayakan Piala Dunia minggu lalu.

"Andre OK. Dia tampil ketika sesi latihan hari ini, jadi dia bagus," kata Ten Hag kepada wartawan.

Hojlund mengalami kekejangan otot dan pemain berusia 20 tahun itu tidak dapat bermain untuk negaranya Denmark minggu lalu.

"Proses pemulihan (Hojlund) agak bagus dan kami perlu menunggu hingga esok untuk membuat keputusan muktamad," kata Ten Hag.

Pemain pertahanan Luke Shaw boleh diturunkan selepas berehat selama tiga bulan kerana kecederaan otot.

Ten Hag bagaimanapun dilarang daripada berada di tepi padang di Goodison Park selepas menerima kad kuning ketiganya ketika menang ke atas Luton Town.

Penyerang Manchester United, Rasmus Hojlund (tengah) cedera ketika berdepan Luton Town. – Foto premierleague.com
Penyerang Manchester United, Rasmus Hojlund (tengah) cedera ketika berdepan Luton Town. – Foto premierleague.com

"Beginilah, anda tidak semestinya sering kali bersetuju dengan keputusan pengadil. Saya fikir banyak keputusan musim ini tidak menyebelahi kami," katanya.

"Tetapi saya masih perlu menerimanya. Kini saya digantung, ia mungkin memberikan kelebihan. Saya akan mendapat pandangan yang lebih baik!"

Everton turun beraksi selepas dikenakan pemotongan 10 mata kerana melanggar peraturan kemampanan kewangan.

"Saya menyedari lawan akan turun dengan perasaan marah," kata Ten Hag.

"Jika mereka marah, ia akan menjadi pembakar semangat mereka dan kami perlu menyamai tahap itu. Apabila kami berjaya menyamai tahap mereka, kami berpeluang cerah untuk memenangi perlawanan."

United menghuni tangga keenam liga dengan 21 mata, tujuh mata di belakang pendahulu Manchester City. – REUTERS

Berita Harian X