Jumaat, 24 November 2023 | 11:04pm
Pemain Sabah FC meraikan jaringan pada perlawanan Liga Super menentang Terengganu FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. NSTP/GHAZALI KORI
Pemain Sabah FC meraikan jaringan pada perlawanan Liga Super menentang Terengganu FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. NSTP/GHAZALI KORI

TFC 'menangis' dibelasah Sabah

KUALA TERENGGANU: Terengganu FC (TFC) 'menangis' di laman sendiri selepas dibelasah Sabah FC 0-4 pada aksi Liga Super malam ini.

Bagaimanapun kemenangan skuad The Rhinos itu gagal mengubah kedudukannya dengan kekal di tangga keempat liga dengan mengutip 48 mata begitu juga TFC kekal di tangga keenam dengan mengutip 36 mata.

Beraksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, skuad Tomislav Steinbruckner yang menurunkan 'barisan kedua' berikutan ramai pemain yang cedera bagaikan terpaku dengan corak permainan pelawat yang menekan tuan rumah bermula pada minit awal perlawanan lagi.

Pada perlawanan itu, Sabah FC yang masih berpeluang mencabar di kedudukan kedua liga mengejutkan tuan rumah menerusi bola libasan penyerang importnya, Ramon Macedo pada minit keenam selepas mendapat hantaran lintang Mohd Rizal Mohd Ghazali untuk mendahului 1-0.

Lima minit berselang, kapten skuad The Rhinos, Park Taesu hampir menambah jaringan buat pasukannya, namun rembatan leretnya singgah di tiang sekali gus terselamat pintu gol skuad Penyu yang dikawal Suhaimi Husin.

Tersentak deretan percubaan pelawat, TFC menggandakan asakan dan hampir berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-18, namun rembatan deras kapten, Habib Haroon sedikit melepasi palang gol yang dikawal bekas penjaga gawang kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat.

Pada minit ke-29, pelawat berjaya menambah jaringan kedua menerusi penyerang kebangsaan Indonesia, Saddil Ramdani yang bijak memperdaya pertahanan tuan rumah sebelum melakukan rembatan kencang dari luar kotak penalti.

Tidak cukup dengan dua jaringan itu, anak buah Datuk Ong Kim Swee bagaikan 'dirasuk' apabila berjaya menambah jaringan ketiga menerusi rembatan padu dari luar kotak penalti pemain tengah, Miguel Cifuentes pada minit ke-39 yang mendapat hantaran silang Mohd Rizal.

Bersambung babak kedua, pelawat tidak menunggu lama untuk mencetak gol keempat menerusi pemain gantian, Muhammad Jafri Firdaus Chew yang mudah menolak masuk bola pada minit ke-47 hasil hantaran silang Macedo.

Berita Harian X