Jumaat, 24 November 2023 | 12:23pm
Martin Odegaard dijangka akan kembali memperkuat Arsenal selepas terlepas tiga perlawanan terakhir akibat kecederaan. - Foto AFP
Martin Odegaard dijangka akan kembali memperkuat Arsenal selepas terlepas tiga perlawanan terakhir akibat kecederaan. - Foto AFP

Arsenal kembali dapat sentuhan Odegaard

LONDON: Martin Odegaard dijangka akan kembali memperkuat Arsenal selepas terlepas tiga perlawanan terakhir akibat kecederaan.

Dengan Thomas Partey masih belum pulih, pengendali Arsenal, Mikel Arteta tidak mempunyai banyak pilihan di barisan tengah dalam beberapa perlawanan lalu.

Odegaard terlepas aksi menentang Newcastle dan Sevilla selepas bola terkena mukanya ketika sesi latihan terakhir sebelum bertandang ke St James' Park. Dia turut terlepas aksi bersama Norway.

Kapten The Gunners itu mula berlatih selepas rehat perlawanan antarabangsa dan Arsenal akan bertandang ke Brentford dengan harapan akan kembali mendapat sentuhan Odegaard.

Arteta turut berharap Gabriel Jesus akan memulakan permainan selepas penyerang Brazil itu membarisi kesebelasan utama negaranya ketika tewas 1-0 kepada Argentina dalam aksi kelayakan Piala Dunia di Rio de Janeiro.

Jesus tidak beraksi untuk Arsenal sejak 24 Oktober, apabila cedera di bahagian paha ketika kemenangan 2-1 ke atas Sevilla dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah.

Arsenal merakam kemenangan ke atas Burnley pada aksi terakhir sebelum rehat perlawanan antarabangsa dan hanya ketinggalan satu mata di belakang pendahulu, Manchester City.

Arteta bakal berdepan tugas getir menentang Brentford, yang menang tiga perlawanan berturut-turut sebelum tewas 3-0 di tangan Liverpool. - AGENSI

Berita Harian X