Khamis, 23 November 2023 | 5:02pm
Eldstal (kanan) bersama Faisal Halim selepas aksi menentang Kyrgyzstan.
Eldstal (kanan) bersama Faisal Halim selepas aksi menentang Kyrgyzstan.

Harimau Malaya mampu gegar Qatar

KUALA LUMPUR: Pertahanan skuad kebangsaan, Junior Eldstal menyifatkan Harimau Malaya mempunyai potensi untuk pergi jauh dalam pusingan akhir Piala Asia 2023 yang akan berlangsung di Qatar, Januari tahun hadapan.

Pemain kelab Indonesia, Dewa United itu berkata demikian berdasarkan kualiti dan semangat semua pemain Harimau Malaya yang dianggap tidak gerun untuk berdepan mana-mana pasukan.

Dia bagaimanapun menjelaskan bahawa skuad kendalian Kim Pan Gon perlu melakukan persiapan terbaik untuk menghadapi kejohanan tertinggi Asia itu.

"Persiapan kita kena rapi sebelum kita bergerak ke sana (Piala Asia). Kita tahu kita ada aksi persahabatan yang bagus juga sebelum itu untuk persiapan, tetapi bagi saya pasukan ini ada macam perasaan kami boleh pergi jauh.

"Kita tidak takut lawan mana-mana pasukan. Kalau kita ikut taktikal jurulatih dan kita tahu semua pemain yang masuk memberikan 100 peratus.

"Semua pemain tak berhenti berlari, tak berhenti menyerang dan bagi tekanan kepada lawan. Jadi, harap kita boleh cipta satu lagi sejarah," katanya.

Eldstal mempamerkan persembahan cemerlang apabila digandingkan bersama Dion Cools di bahagian pertahanan ketika Harimau Malaya menewaskan Taiwan 1-0 dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Perbandaran Taipei, kelmarin.

Kejayaan Harimau Malaya melakar kemenangan kedua berturut-turut dalam Kumpulan D selepas menewaskan pasukan ranking ke-97 dunia, Kyrgyzstan 4-3, Khamis lalu menambah keyakinan bahawa anak buah Pan Gon memiliki keupayaan untuk memberikan saingan kepada pasukan lain di Piala Asia 2023.

Selain itu, Eldstal yang juga bekas pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) menjelaskan sikap percaya kepada diri dan rakan sepasukan menjadi antara kekuatan dalam skuad Harimau Malaya.

"Siapa yang main kita ada kepercayaan pada diri, kita percaya kepada semua pemain. Bagi saya Dion Cools bila dia masuk dia bagi keyakinan untuk semua pemain.

"Kita tahu standard dia dari Eropah dulu. Dia bawa pengalaman itu dan sekarang dia bermain dengan Buriram United, jadi dia ada pengalaman main dekat Asia juga, bukan Eropah sahaja," katanya.

Berita Harian X