Selasa, 21 November 2023 | 11:06am
Penyerang Argentina, Lionel Messi bersama jersi yang dipakainya ketika babak pertama final Piala Dunia 2022 menentang Perancis. - Foto AGENSI
Penyerang Argentina, Lionel Messi bersama jersi yang dipakainya ketika babak pertama final Piala Dunia 2022 menentang Perancis. - Foto AGENSI

Messi lelong jersi final Piala Dunia

NEW YORK: Jersi dipakai Lionel Messi ketika memenangi final Piala Dunia antara koleksi jersi Argentinanya yang akan dilelong dan dijangka akan memecahkan rekod jualan melebihi 8 juta pound (RM46.53 juta).

Enam jersi daripada Piala Dunia 2022 di Qatar - yang menyaksikan Argentina menewaskan Perancis menerusi sepakan penalti untuk menjulang trofi berkenaan - dilelong oleh Sotheby's di New York, dengan sebahagian hasil lelongan akan disumbangkan ke badan kebajikan.

Jersi-jersi berkenaan adalah yang dipakai Messi ketika babak pertama final, separuh akhir menentang Croatia, suku akhir bertemu Belanda, dan pusingan 16 terakhir menentang Australia, serta dua daripada tiga aksi di peringkat kumpulan, dengan harga dianggar mencecah 10 juta pound (RM58.16 juta). Ia bakal memecahkan rekod koleksi barangan memorabilia sukan.

Lionel Messi bersama koleksi jersi Argentina yang akan dilelongnya di Sotheby’s New York. - Foto AGENSI
Lionel Messi bersama koleksi jersi Argentina yang akan dilelongnya di Sotheby’s New York. - Foto AGENSI

Rekod untuk barangan memorabilia sukan ketika ini adalah jersi Chicago Bulls milik Michael Jordan ketika final NBA 1998 yang dijual pada harga 8.1 juta pound (RM47.11 juta) September tahun lalu di Sotheby's New York.

Untuk barangan lain, gitar dimainkan Kurt Cobain ketika persembahan MTV Unplugged pada tahun 1993, lima bulan sebelum dia meninggal dunia, dilelong pada harga 4.2 juta pound (RM24.43 juta) tiga tahun lalu.

Messi menjaringkan dua gol ketika final di Qatar dan akhirnya memenangi Piala Dunia pada percubaan kelimanya.

Rekod lelongan tertinggi jersi bola sepak:

1. Maradona - England mln Argentina, 1986 - 7.1 juta pound (RM41.3 juta)

2. Pele - Brazil mln Itali, 1970 - 157,750 pound (RM916,463)

3. Geoff Hurst - England mln Jerman Barat, 1966 - 91,750 pound (RM533,638)

- AGENSI

Berita Harian X