Jumaat, 29 September 2023 | 11:56am
Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp (kiri) boleh merehatkan Mohamed Salah (kanan) pada bila-bila masa tanpa menjejaskan ketajaman jentera serangannya. - Foto AGENSI
Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp (kiri) boleh merehatkan Mohamed Salah (kanan) pada bila-bila masa tanpa menjejaskan ketajaman jentera serangannya. - Foto AGENSI

Jentera serangan Liverpool sukar diduga

LIVERPOOL: Skuad terbaik Liverpool kendalian Jurgen Klopp pun tidak memiliki pilihan di bahagian serangan seperti yang ada hari ini.

Cody Gakpo dan Diogo Jota menemui sasaran dalam kemenangan 3-1 Piala Liga ke atas Leicester City, Rabu lalu, namun mereka masih pilihan kedua berbanding trio hadapan Liverpool dibarisi Mohamed Salah, Darwin Nunez dan Luis Diaz.

Lima peledak itu sudah cukup digeruni lawan, tetapi Liverpool masih mempunyai pemain 17 tahun, Ben Doak di bahagian sayap kanan yang mampu melakukan kejutan pada bila-bila masa.

Kejayaan Liverpool memenangi Liga Juara-Juara Eropah 2019 dan Liga Perdana Inggeris 2020, serta Piala FA dan Piala Liga pada tahun 2022, dibantu oleh gandingan tiga serangkai Salah, Roberto Firmino dan Sadio Mane.

Ketiga-tiga peledak utama Liverpool itu sentiasa bersedia untuk diturunkan dan tidak ada penyerang dalam kelab Liga Perdana Inggeris lain mampu menyaingi mereka.

Kini tempat Firmino dan Mane diganti Nunez serta Diaz, namun pengendali Liverpool mempunyai pilihan untuk menggantikan salah seorang atau dua daripada mereka dengan Gakpo mahupun Jota.

Sebelum ini Klopp bergantung kepada trio hadapannya untuk menjaringkan gol kerana barisan tengah dan pertahanan jarang sekali berpeluang melakukannya.

Kini keadaan itu sudah berubah. Jaringan Dominik Szoboszlai untuk gol kedua Liverpool ke atas Leicester cukup menarik.

Trent Alexander-Arnold juga berpeluang menyertai senarai penjaring selepas bertukar dari posisi bek kanan ke barisan tengah.

Liverpool kini sudah memenangi lima perlawanan berturut-turut dengan menjaringkan sekurang-kurangnya tiga gol - kali pertama ia berlaku sejak skuad Kenny Dalglish pada era 80-an. Mereka masih belum tewas dalam 19 perlawanan sejak 1 April.

Enam perlawanan pertama Liga Perdana Inggeris mereka memberikan lima kemenangan dan satu seri, dengan 15 gol dijaringkan. Enam lagi dihasilkan dalam aksi pembukaan Liga Europa dan Piala Liga.

Belum ada mana-mana pasukan pada peringkat ini mempunyai enam pemain menjaringkan sekurang-kurangnya satu gol di awal musim. Hanya Liverpool - menerusi Salah, Nunez, Diaz, Gakpo, Jota dan Szoboszlai. - AGENSI

Berita Harian X