Isnin, 25 September 2023 | 11:04pm
Pemain Perak, Wan Zack Haikal Wan Nor (kiri) meledak gol ketika menewaskan Sabah 1-0 dalam aksi suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Perak, Ipoh. - Foto FB Perak Football Club
Pemain Perak, Wan Zack Haikal Wan Nor (kiri) meledak gol ketika menewaskan Sabah 1-0 dalam aksi suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Perak, Ipoh. - Foto FB Perak Football Club

Perak tempah tiket jumpa JDT

KUALA LUMPUR: Perak menempah pertembungan separuh akhir Piala Malaysia dengan juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) apabila menewaskan Sabah 1-0 dalam aksi suku akhir kedua di Stadium Perak, Ipoh, sebentar tadi.

Keputusan itu menyaksikan skuad Bos Gaurus mara dengan agregat 3-2 selepas terikat 2-2 dalam aksi pertama di Stadium Likas, 15 September lalu.

Turun tanpa kelebihan agregat jaringan, aksi rancak dan saling berbalas serangan dipamerkan kedua-dua pasukan untuk mencari gol pendahuluan sebaik permainan dimulakan.

Perak bagaimanapun terlebih dahulu menemui jaringan apabila hantaran bijak Sunday Afolabi pada minit ke-45 disudahkan oleh Wan Zack Haikal Wan Nor.

Sabah hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-74, namun rembatan Ramon Machado di dalam kota penalti sekadar singgah di palang gol.

Kelebihan satu gol itu bagaimanapun berjaya dipertahankan Perak hingga tamat permainan untuk mencipta kejutan melangkah ke separuh akhir selepas berdepan prestasi buruk pada awal musim ini.

Berita Harian X