Selasa, 12 September 2023 | 5:16pm
MFL mengesahkan teknologi VAR yang sudah digunakan di serata dunia dijangka dapat dilaksanakan sepenuhnya dalam saingan Liga M bermula tahun depan. - REUTERS
MFL mengesahkan teknologi VAR yang sudah digunakan di serata dunia dijangka dapat dilaksanakan sepenuhnya dalam saingan Liga M bermula tahun depan. - REUTERS

VAR bukan jalan penyelesaian isu pengadil tapi perlu

KUALA LUMPUR: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menganggap penggunaan teknologi Video Bantuan Pengadil (VAR) bukanlah jalan penyelesaian muktamad terhadap isu kepengadilan yang sentiasa menjadi pertikaian dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan.

Namun Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Stuart Ramalingam mengakui teknologi terbabit adalah satu evolusi yang perlu dilakukan badan pengendali liga itu yang dilihat dapat membantu meningkatkan lagi kualiti pengadilan dalam Liga Malaysia (Liga M).

"VAR memberi kita nilai tambah kepada keputusan pengadil sedia ada dan kita tahu pengadil tertakluk kepada kritikan. VAR bukanlah jalan penyelesaian segalanya kerana pertikaian masih ada di liga terkemuka dunia.

"(VAR) dapat membantu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan MFL mendapatkan keputusan yang lebih baik sebagai rujukan dan menyemak keputusan menggunakan pihak kedua.

"Sudah tentu ia bukanlah jalan penyelesaian secara menyeluruh tetapi ini adalah satu perkara yang perlu kita lakukan untuk melangkah ke arah yang lebih profesional dan komersial," kata Stuart.

Terdahulu, MFL mengesahkan teknologi terbabit dijangka dapat dilaksanakan sepenuhnya dalam saingan Liga M bermula tahun depan dengan kos sebanyak RM9.7 juta.

Stuart menjelaskan jumlah terbabit merangkumi kos penyediaan bagi tahun pertama dengan MFL bakal menggunakan trak bergerak untuk operasi VAR yang akan diletakkan di stadium pada hari perlawanan.

Katanya, pendekatan terbabit bakal menelan belanja sehingga tiga kali banyak berbanding pelaksanaan biasa namun ia disifatkan sebagai langkah penyelesaian terbaik bagi mengatasi halangan seperti kekuatan internet dan penyediaan infrastruktur di stadium.

"Bagi tahun berikutnya, kita jangkakan kosnya sekitar RM3.2 juta setahun tetapi kos ini tidak membabitkan perbelanjaan jika kita mahu menambah kamera yang digunakan.

"Kita sasarkan dapat menggunakan VAR untuk semua 240 perlawanan yang akan berlangsung pada tahun depan," katanya sebelum ini.

Berita Harian X