LONDON: Hari ini 7 September hari yang penting buat Liverpool kerana ia menandakan genap setahun ulang tahun kekalahan memalukan mereka 4-1 di tangan Napoli dalam aksi Liga Juara-Juara.
Ketika The Reds pernah mengalami kekalahan besar sebelum aksi itu, keputusan itu lebih penting disebabkan kata-kata Jurgen Klopp kepada media selepas perlawanan.
Sekalipun sebelumnya hampir mengemudi kejayaan Liverpool merangkul empat kejuaraan, Klopp berkata sudah tiba masanya buat The Reds 'membentuk semula' pasukan susulan permulaan hambar musim - yang akhirnya menyaksikan mereka gagal melayakkan diri ke Liga Juara-Juara.
Beliau sedar sudah tiba masanya mengetepikan pemain lama, membawa masuk muka baharu dan mengurangkan purata usia satu daripada pasukan tertua dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).
Di bahagian tengah Klopp sedar rombakan besar-besaran perlu dilakukan.
Jendela perpindahan musim panas kali ini mungkin menyaksikan perubahan yang diinginkannya, dengan pemergian Jordan Henderson dan Fabinho ke Arab Saudi, mengikut jejak langkah James Milner, Naby Keita dan Alex Oxlade-Chamberlain mengetuk pintu keluar.
Liverpool membelanjakan £145 juta (RM847.8 juta) bagi bahagian tengah sahaja musim panas ini dengan Dominik Szoboszlai, Alexis Mac Allister, Wataru Endo dan Ryan Gravenberch tiba di Anfield.
Petanda awal jelas positif buat Liverpool dengan Szoboszlai dan Mac Allister kelihatan pembelian sempurna di jentera tengah milik Klopp.
Kedua-dua pemain beraksi dengan penuh bertenaga selain mencetus ancaman serangan. Peminat Liverpool sudah terpikat khususnya terhadap Szoboszlai, dengan sesetengah menganggap The Reds sudah menemui pengganti sebenar Steven Gerrard.
Endo juga bertindak cemerlang setakat ini sekalipun dua daripada tiga perlawanannya menyaksikan The Reds bermain 10 orang manakala Gravenberch masih belum membuat penampilan sulung selepas hanya tiba pada hari terakhir jendela perpindahan.
Liverpool menang tiga daripada empat perlawanan pertama mereka musim ini, ketika mereka memerlukan sembilan perlawanan untuk mencapai angka itu musim lalu.
Namun keputusan mereka beransur-ansur baik menjelang hujung musim lalu selepas beberapa perubahan dalam sistem mereka. Paling ketara apabila Trent Alexander-Arnold beralih ke peranan tengah ketika memegang bola.
The Reds kini tidak kalah dalam 15 perlawanan EPL terakhir mereka yang mana ia rekod terbaik mana-mana pasukan di liga utama.
Mereka dominan ketika menang 3-0 ke atas Aston Villa hujung minggu lalu dan kelihatan selesa ketika mengatasi Bournemouth 3-1 sekalipun Mac Allister dibuang padang selepas dilayangkan kad merah yang kemudian dibatalkan.
Namun persembahan mereka menentang Newcastle menjadi contoh terbaik membuktikan bagaimana pemulihan yang dilakukan Klopp berjaya.
Bagi majoriti musim lalu, Liverpool pasti tidak mampu bangkit jika mereka ketinggalan 1-0 selepas 30 minit apatah lagi tanpa pertahanan tengah terbaik mereka Virgil van Dijk yang dibuang padang.
Namun anak buah Klopp kekal bersaing, mempamerkan persembahan yang pernah dipanggil pengendali Jerman itu sebagai 'mentaliti gergasi' dua tahun lalu.
Mereka menguasai momentum perlawanan selepas membawa masuk Diogo Jota dan Harvey Elliott, sebelum Darwin Nunez tampil dari bangku simpanan untuk membantu kebangkitan menakjubkan The Reds, menjaringkan dua gol hebat lewat aksi untuk membantu mereka pulang dengan tiga mata dari St James' Park.
Ia satu persembahan yang mungkin mampu mencuri tumpuan mana-mana kelab yang berhasrat untuk mencabar kejuaraan EPL mahupun kelompok empat teratas. – AGENSI