Jumaat, 1 September 2023 | 10:07am
Jordan Henderson (depan, dua dari kanan) kini menjadi kapten Al-Ettifaq dalam Liga Pro Saudi. – Foto Twitter Ettifaq Club
Jordan Henderson (depan, dua dari kanan) kini menjadi kapten Al-Ettifaq dalam Liga Pro Saudi. – Foto Twitter Ettifaq Club

Henderson dipanggil Southgate dari Arab Saudi

LONDON: Jordan Henderson dinamakan oleh Gareth Southgate semalam dalam skuad England bagi perlawanan menentang Ukraine dan Scotland di sebalik perpindahannya dari Liverpool ke kelab Arab Saudi, Al-Ettifaq.

Pertahanan tengah Manchester United, Harry Maguire turut disenaraikan dalam skuad 26 pemain sekalipun dipinggirkan di Old Trafford namun tiada tempat buat penyerang Chelsea, Raheem Sterling.

Kelayakan ke Kejohanan Eropah tahun depan diteruskan dengan aksi menentang Ukraine di Poland pada 9 September ini sebelum perlawanan persahabatan di Scotland tiga hari kemudian.

Perpindahan Henderson ke Liga Pro Saudi Julai lalu mencetus persoalan mengenai karier antarabangsanya dan Southgate mengakui beliau agak bimbang mengenainya.

"Kami melihat setiap perlawanan," katanya. "Kunci utama kami bergerak ke hadapan adalah intensiti fizikal liga itu di samping cuaca panas, sama ada ia membenarkan dia beraksi di tahap yang kami perlukan.

"Jelas tahap liga itu berubah sepanjang masa. Banyak negara akan berdepan isu ini. Portugal mempunyai beberapa pemain di sana dan saya pasti mereka tetap akan dipanggil bagi aksi antarabangsa."

Bekas kapten United, Maguire dan pemain tengah Manchester City, Kalvin Phillips kedua-duanya berada dalam skuad Southgate, masih belum beraksi di peringkat kelab musim ini.

Bercakap mengenai Maguire, Southgate memberi alasan ketiadaan beberapa pertahanan berpengalaman termasuk Tyrone Mings dan John Stones.

"Ada ruang kosong di sana dan saya fikir bagi dua perlawanan ini penting kami mempunyai beberapa pemain berpengalaman di bahagian itu," katanya.

Juara B-21 Eropah, Levi Colwill menerima panggilan pertamanya ke skuad senior begitu juga penyerang Arsenal, Eddie Nketiah. – AFP

SKUAD ENGLAND

Penjaga gol: Sam Johnstone (Crystal Palace), Jordan Pickford (Everton), Aaron Ramsdale (Arsenal).

Pertahanan: Ben Chilwell (Chelsea), Levi Colwill (Chelsea), Lewis Dunk (Brighton), Marc Guehi (Crystal Palace), Harry Maguire (Manchester United), Fikayo Tomori (AC Milan/ITA), Kieran Trippier (Newcastle), Kyle Walker (Manchester City).

Tengah: Trent Alexander-Arnold (Liverpool), Jude Bellingham (Real Madrid/ESP), Conor Gallagher (Chelsea), Jordan Henderson (Al-Ettifaq/KSA), Kalvin Phillips (Manchester City), Declan Rice (Arsenal).

Penyerang: Eberechi Eze (Crystal Palace), Phil Foden (Manchester City), Jack Grealish (Manchester City), Harry Kane (Bayern Munich/GER), James Maddison (Tottenham), Eddie Nketiah (Arsenal), Marcus Rashford (Manchester United), Bukayo Saka (Arsenal), Callum Wilson (Newcastle).

Berita Harian X