Ahad, 27 Ogos 2023 | 8:39am
Kapten Manchester United, Bruno Fernandes meraikan jaringan kemenangan menerusi sepakan penalti bertemu Nottingham Forest pada aksi Liga Perdana Inggeris lewat malam tadi. – Foto premierleague.com
Kapten Manchester United, Bruno Fernandes meraikan jaringan kemenangan menerusi sepakan penalti bertemu Nottingham Forest pada aksi Liga Perdana Inggeris lewat malam tadi. – Foto premierleague.com

Ten Hag puji karakter pemain United

MANCHESTER, England: Bos Manchester United, Erik ten Hag melabel dua gol awal dalam tempoh empat minit dilepaskan pasukannya kepada Nottingham Forest sebagai "gila" tetapi memuji pemainnya kerana bangkit untuk menang 3-2 lewat malam tadi.

Permulaan hambar United musim ini kelihatan berterusan apabila Taiwo Awoniyi melakukan serangan balas pantas susulan sepakan sudut tuan rumah untuk membuka tirai jaringan selepas 90 saat.

Kurang dua minit kemudian kedudukan menjadi 2-0 apabila Willy Boly yang tidak dikawal menanduk masuk sepakan percuma Morgan Gibbs-White.

"Kami menghormati Forest, tetapi kami tidak boleh membenarkan mereka (gol)," kata Ten Hag. "Ia gol yang mudah. Ia gila, tetapi kadang-kadang perlawanan terjadi seperti ini."

Erik ten Hag percaya pemain Manchester United memiliki karakter untuk bangkit dalam setiap perlawanan. – Foto REUTERS
Erik ten Hag percaya pemain Manchester United memiliki karakter untuk bangkit dalam setiap perlawanan. – Foto REUTERS

United tewas 2-0 kepada Tottenham hujung minggu lalu selepas dikuasai Wolves di laman sendiri sekalipun menang 1-0 pada minggu pembukaan kempen.

Mereka bagaimanapun meraih kemenangan kedua dalam tiga perlawanan di Old Trafford malam tadi dengan Christian Eriksen memulakan kebangkitan apabila menampan masuk hantaran lintang Marcus Rashford pada minit ke-17.

Casemiro kemudian menyamakan kedudukan pada minit ke-52 susulan tandukan Bruno Fernandes sebelum Forest berakhir 10 pemain apabila Joe Worrall dilayangkan kad merah kerana menafikan Fernandes peluang baik untuk menjaringkan gol.

United menggunakan kesempatan itu apabila Fernandes menyempurnakan sepakan penalti 14 minit sebelum tamat selepas Rashford dijatuhkan dalam kawasan penalti.

Casemiro menjaringkan gol penyamaan Manchester United menentang Nottingham Forest di Old Trafford, lewat malam tadi. – Foto premierleague.com
Casemiro menjaringkan gol penyamaan Manchester United menentang Nottingham Forest di Old Trafford, lewat malam tadi. – Foto premierleague.com

"Permulaan menakutkan, tetapi karakter pasukan amat mengagumkan," jelas Ten Hag.

"Kami begitu tenang dan tabah. Kami berpegang kepada keyakinan, mengekalkan perancangan, bermain bola sepak yang bagus dan menjaringkan tiga gol yang bagus. Ia satu kebangkitan hebat.

"Ia satu penanda, sudah tentu. Kami lihat pasukan ini boleh bangkit. Jika anda mempunyai permulaan sebegitu, anda perlu menanganinya. Ia tidak mudah, tetapi pujian kepada pasukan.

"Kami mempunyai personaliti. Dalam keadaan tertentu kami pasti boleh meningkat, tetapi secara umum pasukan ini mempunyai karakter untuk bangkit setiap masa." – AFP

Berita Harian X