Ahad, 27 Ogos 2023 | 7:25am
Kapten United, Bruno Fernandes (kanan) menyumbat masuk gol kemenangan menerusi sepakan penalti untuk mengatasi Nottingham Forest 3-2 di Old Trafford, lewat malam tadi. – Foto AFP
Kapten United, Bruno Fernandes (kanan) menyumbat masuk gol kemenangan menerusi sepakan penalti untuk mengatasi Nottingham Forest 3-2 di Old Trafford, lewat malam tadi. – Foto AFP

United bangkit atasi Forest, Arsenal diikat Fulham

MANCHESTER, England: Manchester United bangkit daripada dibolosi dua gol dalam empat minit pertama sebelum menewaskan Nottingham Forest 3-2 lewat malam tadi ketika Arsenal keciciran mata buat kali pertama dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini ketika seri 2-2 dengan Fulham yang beraksi dengan 10 pemain.

West Ham menamatkan permulaan sempurna Brighton dengan kemenangan 3-1 sekali gus meletakkan anak buah David Moyes di puncak liga, manakala Tottenham turut mengumpul tujuh mata selepas menang 2-0 di Bournemouth.

United kelihatan mahu memulakan semula musim mereka selepas tumpas 2-0 di Tottenham hujung minggu lalu tetapi bermula dengan teruk di Old Trafford.

Taiwo Awoniyi meluru pantas susulan sepakan sudut United untuk menjaringkan gol EPL bagi perlawanan ketujuh berturut-turut selepas hanya 90 saat.

Hanya tiga minit dan 42 saat berlalu apabila Willy Boly kemudian menemui jaringan daripada sepakan percuma Morgan Gibbs-White.

Christian Eriksen (kiri) memulakan kebangkitan Manchester United berdepan Nottingham Forest di Old Trafford. – Foto REUTERS
Christian Eriksen (kiri) memulakan kebangkitan Manchester United berdepan Nottingham Forest di Old Trafford. – Foto REUTERS

United terselamat dengan kemenangan 1-0 ke atas Wolves pada perlawanan pertama musim ini, di sebalik dikuasai oleh pelawat, sekali gus mengendurkan jangkaan mereka boleh mencabar kejuaraan pertama liga dalam tempoh sedekad.

Namun mereka bangkit dengan penuh bergaya untuk meraih tiga mata.

Christian Eriksen memulakan kebangkitan itu apabila dia menyempurnakan hantaran lintang Marcus Rashford.

Casemiro terlepas peluang keemasan untuk menyamakan kedudukan sebelum rehat tetapi dia menebus kegagalan itu apabila merembat masuk umpanan Bruno Fernandes.

Kapten Forest, Joe Worrall kemudian dibuang padang 23 minit sebelum tamat kerana menjatuhkan Fernandes.

Penyerang Arsenal, Eddie Nketiah (kanan) mengatasi pertahanan Fulham, Antonee Robinson sebelum menjaringkan gol kedua di Stadium Emirates lewat malam tadi. – Foto AFP
Penyerang Arsenal, Eddie Nketiah (kanan) mengatasi pertahanan Fulham, Antonee Robinson sebelum menjaringkan gol kedua di Stadium Emirates lewat malam tadi. – Foto AFP

Fernandes memenangi perlawanan itu menerusi sepakan penalti selepas Rashford dijatuhkan dalam kawasan penalti.

"Ia bukannya permulaan sempurna buat kami tetapi kami tetap tenang, mengawal bola dan mula melakukan perkara yang betul," kata Fernandes.

"Pasukan mempamerkan semangat juang tinggi, keinginan kuat untuk menang. Kami hanya perlu berhati-hati dan tidak melepaskan gol terlalu awal."

Arsenal turut bermula buruk apabila Andreas Pereira menghukum kesilapan hantaran lemah Bukayo Saka sebelum mengatasi Aaron Ramsdale pada minit pertama di Emirates.

Fulham bertahan dengan baik lebih 70 minit namun kedegilan mereka akhirnya dipatahkan apabila Saka menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti.

Penyerang West Ham, Michail Antonio (kanan) menjaringkan gol ketiga pelawat ketika menundukkan pendahulu liga Brighton 3-1 di Stadium Amex, awal pagi tadi. – Foto REUTERS
Penyerang West Ham, Michail Antonio (kanan) menjaringkan gol ketiga pelawat ketika menundukkan pendahulu liga Brighton 3-1 di Stadium Amex, awal pagi tadi. – Foto REUTERS

Dua gol dalam tempoh dua minit kelihatan mampu mengubah kedudukan apabila pemain gantian Eddie Nketiah merembat masuk hantaran silang Fabio Vieira.

Pemain Fulham, Calvin Bassey kemudian dibuang padang kerana menerima kad kuning kedua.

Namun pasukan yang beraksi 10 pemain itu meraih satu mata apabila Joao Palhinha menjaringkan gol susulan sepakan sudut tiga minit sebelum tamat.

Permulaan mengagumkan Brighton diakhiri dengan penyudah klinikal West Ham menerusi serangan balas pantas di Amex.

The Hammers hanya menikmati 22 peratus pegangan bola tetapi mengecewakan tuan rumah menerusi gol James Ward-Prowse, Jarrod Bowen dan Michail Antonio. – AFP

Keputusan Liga Perdana Inggeris:

  • Bournemouth 0 Tottenham 2 (Maddison 17, Kulusevski 63)
  • Arsenal 2 (Saka 70-pen, Nketiah 72) Fulham 2 (Pereira 1, Palhinha 87)
  • Brentford 1 (Schade 18) Crystal Palace 1 (Andersen 76)
  • Manchester United 3 (Eriksen 17, Casemiro 52, Fernandes 76-pen) Nottingham Forest 2 (Awoniyi 2, Boly 4)
  • Everton 0 Wolves 1 (Kalajdzic 87)
  • Brighton 1 (Gross 81) West Ham 3 (Ward-Prowse 19, Bowen 58, Antonio 63)
Berita Harian X