NEW YORK: Lionel Messi boleh meningkatkan status Major League Soccer (MLS) dan sukan itu secara keseluruhannya di Amerika Syarikat (AS), kata pakar ketika perpindahan penyerang Argentina itu ke Inter Miami menarik perhatian seantero dunia.
Dalam satu keputusan mengejut diambilnya selepas memenangi Piala Dunia bersama Argentina dan rundingan yang gagal untuk kembali ke Barcelona, pemain berusia 36 tahun itu menyertai Inter Miami bulan lalu, membawa bersamanya gelombang peminat setia ke pantai timur AS.
Messi bukanlah bintang pertama yang berpindah ke AS, dengan mendiang Pele, Wayne Rooney, David Beckham, Thierry Henry dan Zlatan Ibrahimovic sebelum ini memperagakan aksi mereka di negara Uncle Sam itu.
Namun dengan pemenang Ballon d'Or tujuh kali sebagai wajah baharu liga utamanya, bola sepak AS sedang menuju ke tahap baharu menjelang Piala Dunia 2026, yang akan diadakan di AS, Kanada dan Mexico.
"Kini Lionel Messi sudah datang ke MLS dan ia pasti akan melonjakkannya ke satu tahap dan kesedaran jenama yang baharu," kata Neil Joyce, Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas bersama CLV Group.
"... Saya fikir (perpindahan) Messi adalah satu pengiktirafan terhadap kematangan MLS dan keperluan untuk meningkatkan tumpuan dan nilai jenama menjelang Piala Dunia pada tahun 2026."
Menurut data Google Trends bagi bulan Julai, pengumuman mengenai kedatangan Messi menyebabkan peningkatan ketara dalam carian tarikh perlawanan dan tiket untuk menonton aksi pemain Argentina itu, dengan peminat turut mahu membeli baju rasmi merah jambu Inter Miami.
"Permintaan bagi jersi Messi di Miami sememangnya tidak pernah berlaku sebelum ini. Kami sedang berusaha secepat mungkin untuk memastikan setiap peminat yang mahukan jersi boleh mendapatkannya dalam talian atau di salah satu kedai kami," kata jurucakap Adidas.
Pakar kewangan bola sepak Neil Joyce berkata, perpindahan Messi ke Inter Miami satu dorongan besar buat Adidas, sambil menambah: "Sebelum ini, dia bermain untuk PSG (Paris Saint-Germain) dan Barcelona, yang mana Nike sebagai pengeluar jersi.
"Kini dia bermain dengan Inter Miami, yang jersinya dikeluarkan oleh Adidas. Dia seorang atlet Adidas, Argentina (ditaja oleh) juga Adidas. Mereka membawa nilai Messi di bawah satu bumbung. Ada nilai untuk Adidas di sana."
Penonton MLS juga dijangka meningkat dengan kehadiran Messi.
Pada 2022, MLS dan Apple TV mengumumkan perkongsian 10 tahun, dengan Ketua Pegawai Eksekutif Apple Tim Cook berkata: "Bagi MLS, kami terlalu gembira dengan perjalanan perkongsian itu.
"Kami menjangkakan peningkatan dari segi pelanggan dan pemergian Messi ke Inter Miami banyak membantu kami. Jadi kami amat gembira."
Penampilan sulung penyerang itu bersama Inter Miami ketika menang 2-1 ke atas Cruz Azul bulan lalu mempunyai purata penonton sebanyak 1.75 juta di rangkaian TV berbahasa Sepanyol Univision, menjadikannya penonton rangkaian tunggal terbesar untuk MLS sejak 2004, menurut Sports Media Watch.
Ditanya sama ada pembelian Messi boleh mengembangkan penonton MLS di luar AS, Joyce berkata: "Sudah tentu, 100 peratus." – REUTERS