LONDON: Pemain tengah Tottenham Hotspur, Bryan Gil menjalani pembedahan untuk menangani masalah di pangkal pahanya, umum kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu semalam.
Bintang Sepanyol berusia 22 tahun itu, yang menghabiskan babak kedua musim lalu secara pinjaman di kelab La Liga Sepanyol, Sevilla, akan dipantau oleh pasukan perubatan kelab itu bagi memastikan bila dia boleh kembali menjalani latihan.
Gil mengesahkan "segala-galanya berjalan dengan baik" selepas menjalani pembedahan itu yang akan menyaksikannya terlepas permulaan kempen musim baharu EPL.
Kembali ke utara London pada musim panas ini selepas menamatkan musim lalu secara pinjaman dengan bekas kelabnya, pemain sayap itu kembali ke Hotspur Way bagi memulakan latihan pramusim di bawah kendalian jurulatih baharu Ange Postecoglou tetapi dia tidak disenaraikan dalam 31 pemain yang berlepas ke jelajah Asia Pasifik.
Kekal di pusat latihan kelab di Enfield bersama lima pemain skuad utama, Tottenham mengesahkan masalah kecederaan belakang menjadi punca pemain Sepanyol itu diketepikan dan dia meneruskan pemulihan di Hotspur Way.
Pemain itu kemudiannya dimaklumkan perlu menjalani pembedahan untuk menangani masalah di pangkal pahanya.
Selepas menjalani pembedahan semalam, Gil memuat naik foto dia di katil hospital dalam laman Instagram untuk mengesahkan semuanya berjalan lancar.
"Semuanya bagus, terima kasih kerana mesej sokongan anda," katanya. – REUTERS/AGENSI