LONDON: Liverpool tidak akan menerima tambahan 7.5 juta pound (RM43.87 juta) daripada Bayern Munich selepas Sadio Mane menyertai kelab Arab Saudi, Al-Nassr.
12 bulan selepas meninggalkan Anfield, Mane akan bertukar kelab sekali lagi apabila Bayern setuju melepaskan pemain 31 tahun menyertai Al-Nassr pada harga 30 juta pound (RM175.48 juta).
Selepas mengharungi enam tahun yang gemilang di Anfield bersama skuad kendalian Jurgen Klopp, pemain Senegal itu berharap dapat mengulanginya di Bundesliga bersama Bayern kendalian Julian Nagelsmann.
Bayern membayar 27.5 juta pound (RM160.86 juta) untuk khidmat Mane pada Jun 2022, dengan tambahan 7.5 juta pound (RM43.87 juta) jika pemain itu mencapai prestasi ditetapkan.
Bagaimanapun bayaran berdasarkan prestasi itu tidak akan diterima Liverpool selepas musim sulung Mane yang mengecewakan di Allianz Arena.
Dia bermula baik dengan menjaringkan gol ketika kemenangan Piala Super DFL ke atas RB Leipzig dan meledak tiga kali dalam tiga penampilan pertama Bundesliga.
Walaupun kerap membarisi kesebelasan utama Bayern, Mane tampak bergelut untuk mengekalkan prestasi awalnya dan Nagelsmann mengakui pemain itu masih dalam proses menyesuaikan diri.
Kecederaan ketika menentang Werder pada November menyebabkan Mane terpaksa berehat tiga bulan dan terlepas aksi Piala Dunia Qatar.
Dia kemudian digantung oleh kelab kerana menumbuk rakan sepasukan, Leroy Sane ketika aksi Liga Juara-Juara Eropah.
Mane akan bergandingan dengan bekas bintang Liga Perdana Inggeris, Cristiano Ronaldo, Alex Telles dan David Ospina di Al-Nassr. - AGENSI