Khamis, 27 Julai 2023 | 2:36pm
Hariz Kamarudin (tengah) mahu rakan sepasukannya beraksi cemerlang menentang TFC di Kuala Terengganu malam esok. – Foto Negeri Sembilan FC
Hariz Kamarudin (tengah) mahu rakan sepasukannya beraksi cemerlang menentang TFC di Kuala Terengganu malam esok. – Foto Negeri Sembilan FC

Negeri Sembilan mahu kejutkan TFC di Gong Badak

SEREMBAN: Negeri Sembilan FC (NSFC) menjanjikan saingan sengit apabila berdepan Terengganu FC (TFC) dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu, malam esok.

Meskipun bakal turun dengan hanya mempertaruhkan dua import - Herold Guolon dan Casagrande - selepas pemergian Levy Madinda dan Safuwan Baharuddin, mereka berusaha mengekalkan rekod kemenangan 2-1 yang dicapai sebelum ini di laman sendiri.

Pemain tengah NSFC, Mohamad Hariz Kamarudin berkata dia dan rakan sepasukan akan turun dengan persembahan lebih bertenaga bagi mempertahankan maruah pasukan itu.

Bagaimanapun dia sedar tugas mereka lebih sukar kerana beraksi di gelanggang lawan selain kelebihan pemain import yang dimiliki pasukan lawan.

"Fokus utama kami apabila turun menentang TFC malam esok adalah untuk mempertahankan kemenangan yang dicapai pada pertembungan pertama sebelum ini di laman sendiri.

"Walaupun kami turun tanpa barisan utama terutama pemain import, namun kami akan berusaha menggandakan kekuatan dan memperagakan aksi mantap untuk mendapat tiga mata.

"Kami perlu mempamerkan persembahan lebih berkualiti bagi memecah kebuntuan kemenangan selepas enam perlawanan terdahulu tanpa meraih mata penuh," katanya hari ini.

Hariz yang dijangka mengambil alih posisi ditinggalkan Madinda, akui bersedia untuk menggalas tugas dan tangggunjawab itu dalam memastikan skuad Hobin Jang Hobin kekal cemerlang dalam mengharungi baki perlawanan liga.

Berita Harian X