Jumaat, 14 Julai 2023 | 2:50pm
Penyerang Negeri Sembilan, Shahrel Fikri Md Fauzi (kanan) mungkin tidak beraksi menentang KL City, esok. - Foto Negeri Sembilan FC.
Penyerang Negeri Sembilan, Shahrel Fikri Md Fauzi (kanan) mungkin tidak beraksi menentang KL City, esok. - Foto Negeri Sembilan FC.

Misi sukar Negeri Sembilan berdepan KL City

SEREMBAN: Negeri Sembilan FC (NSFC) mahu menamatkan badi lima perlawanan berturut-turut tanpa kemenangan apabila berdepan Kuala Lumpur (KL) City dalam aksi Liga Super di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, petang esok.

Skuad Hobin Jang Hobin mencatat tiga keputusan seri menentang Kelantan United, Kuching City dan Penang selain tewas kepada pasukan besar, Sri Pahang FC dan Johor Darul Ta`zim (JDT) di gelanggang lawan.

Ketua jurulatihnya, K Devan sedar pasukannya perlu kembali mencatat kemenangan bagi memperbaiki kedudukan dalam carta liga.

Dia bagaimanapun menjelaskan persiapan menghadapi KL City sedikit terjejas berikutan beberapa pemain utama mengalami kecederaan termasuk Shahrel Fikri Md Fauzi dan Casagrande selain Mohamad Zaquan Adha Abd Radzak dan Saiful Ridzuan Selamat yang terpaksa berehat panjang.

"Memang kami perlu mencari kemenangan, tetapi sekali lagi kami menghadapi tugas berat berdepan KL City petang esok, berikutan tanpa pemain utama yang cedera.

"Kami hanya ada dua pemain import yang boleh diturunkan ketika ini iaitu Herold Goulon dan Levy Madinda selepas Safuwan Baharuddin kembali ke pasukan asalnya, Selangor.

"Keadaan ini menyukarkan pasukan untuk menurunkan barisan terbaik. Walaupun kami mahukan kemenangan, tapi harus juga diukur dari segi kekuatan yang boleh kita tampilkan," katanya.

Jurulatih berpengalaman itu berkata, ketiadaan Shahrel Fikri dan Casagrande sudah pasti memberi kesan kepada bahagian serangan dalam misi merobek gawang skuad kendalian Bojan Hodak.

Katanya, dia mungkin terpaksa menggunakan khidmat beberapa pemain muda seperti A Selvan, Filemon Anyie Standly, Mohamad Zamri Ramli, Mohamad Hafiz Ramdan dan Mohamad Izzudin Roslan untuk membantu bahagian tengah dan serangan.

Berita Harian X