KUALA LUMPUR: Kuartet 4x100 meter (m) lelaki negara masih kekal di landasan tepat dalam misi meleburkan rekod kebangsaan di Sukan Asia Hangzhou di China, September depan.
Jurulatih pecut negara, Mohd Poad Md Kassim, berkata dia tetap berpuas hati dengan prestasi ditunjukkan kuartet negara yang dibarisi Muhammad Azeem Fahmi, Khairul Hafiz Jantan, Jonathan Nyepa dan Mohammad Thaqif Hisham biarpun sekadar menamatkan saingan di tempat keenam dengan catatan 39.17 saat (s) di Kejohanan Olahraga Asia di Bangkok, Thailand, semalam.
Katanya, catatan berkenaan dianggap sesuatu yang positif apabila ia adalah catatan terbaik musim ini yang dilakar pelari negara.
"Secara keseluruhan saya berpuas hati dengan prestasi kuartet lelaki negara, mereka adalah gandingan dan berlari di posisi yang baharu dalam misi kita untuk mencatat bawah 39s di Sukan Asia nanti.
"Catatan yang dilakukan semalam menunjukkan kita di landasan tepat untuk merealisasikan misi berkenaan," kata Poad.
Rekod kebangsaan bagi acara 4x100m adalah 39.09s yang dilakukan kuartet dibarisi Azeem, Muhammad Arsyad Md Saat, Muhammad Zulfiqar Ismail dan Muhammad Haiqal Hanafi ketika memenangi pingat perak di Sukan SEA Hanoi di Vietnam, tahun lalu.
Mengulas lanjut, Poad, berkata ketiadaan Haiqal yang terpaksa diketepikan akibat kecederaan pada kejohanan di Bangkok sedikit sebanyak turut memberi kesan kepada aksi kuartet negara.
Tempat Haiqal digantikan oleh Thaqif yang menggalas tugas selaku pelari ketiga.
"Pelari ketiga kita. Ketiadaan pelari asal (Haiqal) juga beri sedikit kesan. Selain itu, kita juga perlu memperbaiki pertukaran baton kita," kata Poad ketika menjawab soalan mengenai antara kelemahan yang dilihat pada aksi semalam.
Poad turut optimis Haiqal akan sempat pulih bagi memperkuatkan semula kuartet negara di Sukan Asia Hangzhou nanti.