LONDON: Jordan Henderson dilaporkan teruja untuk kembali bersatu dengan Steven Gerrard dengan tawaran empat kali ganda berbanding gajinya di Liverpool.
Pemain antarabangsa England itu memikirkan tawaran itu dengan serius untuk bermain di bawah kendalian bekas rakan sepasukannya di Anfield dalam Liga Pro Saudi.
Henderson, 33, dilaporkan tidak mahu berpindah bagi mencerahkan peluangnya beraksi pada pusingan akhir Euro 2024.
Namun menurut laporan The Athletic, kapten Liverpool itu menerima tawaran yang tidak boleh ditolaknya.
Henderson dipercayai menerima bayaran sekitar £190,000 (RM1.14 juta) seminggu bersama The Reds.
Bagaimanapun dia didakwa ditawarkan perjanjian bernilai £700,000 (RM4.2 juta) seminggu untuk menyertai kelab baharu Gerrard, Al-Ettifaq.
Henderson, yang masih berbaki dua tahun kontraknya di Anfield, kini akan berbincang dengan pengurus Liverpool, Jurgen Klopp dalam membuat keputusan besar mengenai masa depannya.
Apa yang dikatakan pengendali dari Jerman itu kepada Henderson mengenai peranannya musim depan juga menjadi faktor ketika Liverpool mahu mencabar Manchester City sekali lagi.
Klopp sudah mengikat Alexis Mac Allister dari Brighton dan bintang muda Hungary, Dominik Szoboszlai untuk mengukuhkan jentera tengahnya pada musim panas ini dan turut menugaskan Trent Alexander-Arnold di posisi itu menjelang hujung musim lalu.
Henderson, yang mengumpul 77 cap bersama Three Lions, sedar perpindahan ke Arab Saudi mungkin meranapkan peluangnya untuk bermain dengan skuad kendalian Gareth Southgate di Jerman tahun depan kerana standard liga itu lebih rendah.
England semakin hampir layak ke Euro 2024 dan Henderson masih antara tonggak utama dalam perancangan Southgate.
Henderson menyertai Liverpool dari Sunderland pada 2011 dan menjadi kapten kelab selepas Gerrard berpindah ke MLS pada 2015.
Dia melakukan 492 penampilan dalam semua pertandingan, memenangi Liga Perdana Inggeris, Liga Juara-Juara, Piala Kelab Dunia, Piala FA dan Piala Liga. – AGENSI