Ahad, 9 Julai 2023 | 2:50pm
Pemain tengah Penang FC, Nik Akif Syahiran Nik Mat (kiri) diasak pemain Kelantan FC dari Indonesia, Natanael Siringoringo pada aksi Liga Super di Stadium Bandaraya malam tadi. – Foto Penang FC
Pemain tengah Penang FC, Nik Akif Syahiran Nik Mat (kiri) diasak pemain Kelantan FC dari Indonesia, Natanael Siringoringo pada aksi Liga Super di Stadium Bandaraya malam tadi. – Foto Penang FC

Manzoor kecewa bolos tiga gol

GEORGETOWN: Pengendali Penang FC, Manzoor Azwira Abdul Wahid mengakui agak kecewa meskipun menang 4-3 ke atas Kelantan FC pada aksi Liga Super di Stadium Bandaraya, malam tadi.

Beliau berkata, anak buahnya yang mendahului 3-1 pada satu ketika hilang kelebihan apabila pelawat bangkit menyamakan kedudukan pada awal babak kedua.

"Itu sesuatu yang saya rasa mengejutkan tetapi kami bersyukur kerana pemain berusaha sehingga 10 minit terakhir kami dapat jaringan kemenangan selepas lama tidak kutip mata penuh.

"Tetapi agak mengecewakan juga sebenarnya kerana kami dibolosi tiga gol yang tidak sepatutnya berlaku," katanya selepas perlawanan itu.

Manzoor berkata, beliau tidak mengharapkan permainan cantik disebabkan situasi padang yang becak berikutan hujan lebat sepanjang perlawanan namun tidak menyangka terpaksa berhempas-pulas untuk menundukkan Kelantan.

Jurulatih Penang FC, Manzoor Azwira Abdul Wahid kurang gembira apabila pasukannya dibolosi tiga gol sekalipun menang 4-3 ke atas Kelantan FC pada aksi Liga Super malam tadi. – Foto NSTP/Mikail Ong
Jurulatih Penang FC, Manzoor Azwira Abdul Wahid kurang gembira apabila pasukannya dibolosi tiga gol sekalipun menang 4-3 ke atas Kelantan FC pada aksi Liga Super malam tadi. – Foto NSTP/Mikail Ong

"Kami sudah bagi pesanan sebelum perlawanan, bermain dengan pasukan yang ada banyak isu kita tahu kebanyakan yang beraksi adalah pemain muda yang sentiasa ingin mengambil peluang membuktikan keupayaan," katanya.

Katanya dari sudut positif, pemain skuad bawah 23 tahun tuan rumah seperti Alif Ikmalrizal Anuar yang menyumbat gol kemenangan pada minit ke-84 berjaya mencuri tumpuan.

"Alhamdulillah dia membantu pasukan senior itu baik untuk dia menambah keyakinan pada masa depan selain baik juga untuk pasukan kerana kami ada penyerang pelapis," katanya.

Berita Harian X