KUALA LUMPUR: Kelantan FC menawarkan potongan harga tiket serendah RM3 kepada penyokong setia pasukan itu bagi aksi menentang Sri Pahang FC (SPFC), Jumaat ini.
Perkembangan itu diumumkan pasukan terbabit menerusi akaun Facebooknya, hari ini dengan tiket Astaka pula dijual pada harga RM9 sahaja.
Menerusi pengumuman itu, tiket berharga RM3 itu terhad kepada 4,000 penyokong sahaja dan setiap seorang hanya boleh membeli tiga keping sahaja.
"Kaunter jualan tiket secara fizikal akan dibuka pada Selasa dan tiket hanya boleh didapati di TRW Shop bermula 10 hingga 6 petang.
"Tiket Astaka pula terhad kepada 500 orang dan setiap seorang hanya boleh membeli tiga keping tiket," kata pasukan terbabit.
Sebagai rekod, skuad 'Red Warriors' ketika ini menghuni tangga tercorot Liga Super selepas hanya mengutip empat mata daripada 13 perlawanan.
Pasukan itu juga berdepan pelbagai 'drama' luar padang yang secara tidak langsung membuatkan mereka menjadi perhatian pada musim ini.