Jumaat, 16 Jun 2023 | 11:00am

VAR mungkin diguna pakai pada final Piala Malaysia - Hamidin

KUALA TERENGGANU: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membayangkan akan menggunakan sistem video bantuan pengadil (VAR) buat kali pertama di negara ini pada aksi final Piala Malaysia Disember depan.

Perkara itu dimaklumkan presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin ketika ditemui selepas sesi bertemu peminat setia Harimau Malaya di sebuah hotel di Kuala Nerus, malam tadi.

Menurutnya, FAM bersama pengendali Liga Bolasepak Malaysia (MFL) akan melaksanakannya secepat mungkin bagi meningkatkan lagi mutu pengadilan di negara ini.

Bagaimanapun jelas Hamidin, perancangan untuk menggunakan teknologi VAR kali pertama dalam saingan merebut trofi paling berprestij dalam negara itu belum dimuktamadkan lagi kerana bimbang kesuntukan masa.

"Mengikut perancangan, memang kita mahu memulakan teknologi VAR yang pertama di negara ini dengan secepat mungkin iaitu bermula pada aksi final Piala Malaysia pada tahun ini sebagai usaha perintis.

"Bagaimanapun ia belum dapat dimuktamadkan lagi kerana bimbang tidak sempat selain perlu melihat faktor lain termasuk kesediaan pengadil yang terlatih untuk menggunakan teknologi itu.

"Jika tidak sempat, teknologi VAR ini akan bermula paling lewat pun dalam aksi Liga Malaysia awal tahun depan dengan beberapa stadium yang sudah bersedia sebagai perintis.

"Ini kerana impian kami semua stadium bakal menggunakan teknologi VAR ini selewatnya-lewatnya pada tahun 2025," katanya ketika ditemui pada sesi berkenaan yang turut dihadiri Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan, Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Yusoff Mahadi, Naib Presiden, Datuk S Sivasundaram dan Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia, Datuk Hamidin Mohd Amin (kanan) ketika menghadiri sesi bertemu penyokong di Hotel Raia, Kuala Terengganu. – Foto NSTP/GHAZALI KORI
Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia, Datuk Hamidin Mohd Amin (kanan) ketika menghadiri sesi bertemu penyokong di Hotel Raia, Kuala Terengganu. – Foto NSTP/GHAZALI KORI
Berita Harian X