Jumaat, 16 Jun 2023 | 8:08am
Pemain baharu Real Madrid, Jude Bellingham melayan soalan wartawan ketika diperkenalkan di Santiago Bernabeu, Madrid awal pagi tadi. - Foto REUTERS
Pemain baharu Real Madrid, Jude Bellingham melayan soalan wartawan ketika diperkenalkan di Santiago Bernabeu, Madrid awal pagi tadi. - Foto REUTERS

Bellingham lengkap perpindahan ke Real Madrid

MADRID: Real Madrid mengumumkan pembelian memecah rekod dengan mengikat Jude Bellingham dari Borussia Dortmund.

Pemain kebangsaan England itu muncul pemain paling mahal Britain sepanjang zaman selepas melengkapkan perpindahan bernilai £115 juta (RM680 juta).

Madrid mengumumkan ketibaannya di laman Twitter dengan gambar pemain itu bersama jersi baharu kelab dengan kapsyen "Hey Jude" merujuk kepada lagu terkenal kumpulan Beatles.

Kelab itu mengeluarkan kenyataan mengesahkan perpindahan itu dan mendedahkan Bellingham akan diperkenalkan kepada penyokong.

"Real Madrid CF dan Borussia Dortmund bersetuju dengan perpindahan pemain Jude Bellingham, yang akan bersama kelab kami bagi enam musim berikutnya."

Jersi Real Madrid dengan nama dan nombor pemain baharu Jude Bellingham dipamerkan di luar kedai cenderamata Real Madrid selepas pemain England itu melengkapkan perpindahan dari Borussia Dortmund. - Foto REUTERS

Bekas bintang Birmingham City itu menandatangani kontrak enam tahun bersama Real dan kelab Liga Kejuaraan itu akan meraih tambahan £10 juta (RM59 juta) susulan klausa jualan dalam perjanjian apabila dia menyertai Dortmund pada tahun 2020.

The Blues pada awalnya menerima £25 juta (RM148 juta) apabila mereka menjualnya kepada kelab Bundesliga itu.

Pemain tengah England itu menjadi sasaran utama pembelian Carlo Ancelotti pada musim panas ini.

Perpindahan itu sesuatu yang berbaloi buat Madrid, dengan Bellingham sudah diiktiraf sebagai antara pemain terbaik dunia pada usia hanya 19 tahun.

Dia menjaringkan 24 gol dalam 132 perlawanan bersama Dortmund, menjuarai Piala Jerman pada 2021. - AGENSI

Berita Harian X