Selasa, 13 Jun 2023 | 2:09pm
Pemain Sri Pahang FC (SPFC), Muhammad Ashar Al Aafiz Abdullah mengalami kemalangan pada 6 Jun lalu. Foto Sri Pahang FC
Pemain Sri Pahang FC (SPFC), Muhammad Ashar Al Aafiz Abdullah mengalami kemalangan pada 6 Jun lalu. Foto Sri Pahang FC

Sri Pahang pantau keadaan Ashar

KUANTAN: Sri Pahang (SPFC) sentiasa memantau keadaan Muhammad Ashar Al Aafiz Abdullah selepas pemain pertahanan itu terbabit dalam kemalangan, 6 Jun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SPFC, Datuk Mohammed Suffian Awang, berkata daripada segi kebajikan, kelab itu mengambil perhatian serius untuk memastikan Ashar Al Aafiz segera sembuh.

"Setakat ini, kita tidak pasti Ashar Al Aafiz akan kembali menjalani latihan bersama pasukan.

"Segalanya bergantung kepada keputusan dan nasihat pakar perubatan kerana SPFC hanya mendoakan semoga Ashar segera sembuh.

"Oleh itu, kita meminta peminat Tok Gajah bersama-sama mendoakan Ashar kembali memperkasakan pasukan," katanya.

Pada 6 Jun lalu, pemain berusia 28 tahun itu terbabit dalam kemalangan ketika dalam perjalanan ke padang latihan pada 4.30 petang.

Ashar dimasukkan ke wad kecemasan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan menerima rawatan untuk kecederaan di bahagian dagu yang terpaksa menerima beberapa jahitan serta luka lain.

Dia yang menunggang motosikal dilaporkan hilang kawalan apabila sebuah kenderaan lain keluar dari simpang secara tiba-tiba sebelum ia terbabas berhampiran pejabat RISDA Kuantan, di sini.

Berdasarkan maklumat, Ashar menyertai Sri Pahang sejak 2016.

Berita Harian X