LONDON: Jamie Carragher menggesa bekas pemain Manchester United dan Arsenal menerima hakikat yang skuad Manchester City ketika ini adalah lebih baik daripada skuad mereka yang melakar sejarah sebelum ini.
Legenda Liverpool itu memuat naik ciapan di Twitter menjelang aksi final Liga Juara-Juara Eropah antara Man City dan Inter Milan di Istanbul - gelanggang yang menyaksikan Carragher dan rakan sepasukannya menewaskan AC Milan pada tahun 2005.
City melengkapkan treble dengan menewaskan Inter 1-0 hasil jaringan Rodri, selepas menjuarai Liga Perdana Inggeris dan Piala FA untuk menyamai rekod United pada tahun 1999.
Anak buah Guardiola dianggap antara pasukan terbaik sepanjang zaman, tetapi ramai yang mendakwa City tidak sehebat skuad treble United dan Arsenal yang muncul juara Liga Perdana Inggeris pada musim 2003-04.
"Adakah bekas pemain di luar sana yang pernah bermain untuk skuad treble Man United dan The Invincibles Arsenal yang boleh berlaku jujur dengan mengatakan pasukan Manchester City lebih baik daripada pasukan mereka?" soal Carragher.
United sejak sekian lama berbangga dengan pencapaian mereka menjadi pasukan Inggeris tunggal memenangi Liga Perdana Inggeris, Piala FA dan Liga Juara-Juara Eropah dalam satu musim.
Arsenal pula masih tidak dapat melupakan kejayaan memenangi Liga Perdana Innggeris tanpa tewas sebarang perlawanan, dan keseluruhan 49 perlawanan dalam semua pertandingan pada musim berkenaan. - AGENSI