Sabtu, 10 Jun 2023 | 4:22pm

FAM patut hukum pengadil 'ragut' kemeriahan aksi TFC, JDT

KUALA TERENGGANU: Insiden dua layangan kad merah yang dikenakan ke atas pemain Terengganu FC (TFC), Argzim Redzovic dan Ivan Mamut ketika berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT), malam tadi jelas membuatkan penyokong pasukan itu berang.

Majoriti penyokong melontarkan kemarahan ke atas prestasi pengadil perlawanan, Mohd Fusser Mad Sallih yang dilihat gagal melaksanakan tanggungjawab dengan baik selain menyalahgunakan kuasa yang diamanahkan kepadanya.

Malah, mereka jelas tidak berpuas hati dengan pengadil perlawanan terbabit yang disifatkan merencatkan perlawanan ketika aksi itu sepatutnya menjadi perlawanan yang berkualiti.

Justeru, Presiden Kelab Penyokong Bolasepak Terengganu FC, Mohd Isa Che Ariffin menggesa pengurusan skuad 'Penyu' mengemukakan bantahan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan menuntut badan induk itu menghukum pengadil terbabit.

"Jika pengadil perlawanan itu, Mohd Fusser Mad Sallih bijak mengendalikan perlawanan dan tidak berat sebelah, sudah pasti keputusan berbeza selain kami peminat setia yang datang dari pelbagai daerah dekat dan jauh terhibur menyaksikan perlawanan itu," katanya.

Pada perlawanan yang berintensiti tinggi itu, skuad TFC terpaksa beraksi dengan sembilan pemain selepas Fusser melayangkan kad merah kepada Redzovic pada minit ke-52 sebelum Mamut dikenakan tindakan sama di minit ke-73.

Kemarahan penyokong itu turut dikongsi ketua jurulatih TFC, Tomislav Steinbruckner yang mendakwa banyak keputusan pengadil yang dilihat memihak kepada JDT sehingga menyebabkan tumpuan anak buahnya terganggu dan akhirnya terpaksa beraksi dengan sembilan pemain pada babak kedua.

Menurut beliau pengadil sepatutnya lebih peka dengan situasi genting agar dapat membuat keputusan yang baik dan adil kepada kedua-dua pasukan.

"Ini bukan sahaja isu berkaitan penalti dan dua kad merah, tetapi juga kesilapan yang dilakukan di bahagian tengah ketika kita mempunyai peluang yang baik, (tetapi) situasi bahaya kepada gol lawan dan beberapa faul dari belakang... beberapa kali dia membuat kesilapan," katanya.

Pada perlawanan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin itu, penyerang JDT, Fernando Forestieri meledak jaringan pendahuluan pada minit ke-20 sebelum pemain sayap TFC, Sony Norde menjaringkan gol penyamaan, lapan minit kemudian.

Bergson Da Silva kemudian menghasilkan gol kedua pasukannya menerusi sepakan penalti pada minit ke-38 sebelum Endrick Dos Santos menyumbat gol ketiga JDT seminit sebelum wisel penamat ditiupkan.

Anggota PDRM bersama anggota FRU mengawal keselamatan di pintu masuk utama stadium selepas sebahagian penyokong Terengganu FC (TFC) tidak berpuas hati dengan mutu pengadilan pada aksi menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin Gong Badak, malam tadi. NSTP/ Ghazali Kori
Anggota PDRM bersama anggota FRU mengawal keselamatan di pintu masuk utama stadium selepas sebahagian penyokong Terengganu FC (TFC) tidak berpuas hati dengan mutu pengadilan pada aksi menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin Gong Badak, malam tadi. NSTP/ Ghazali Kori
Berita Harian X