Sabtu, 10 Jun 2023 | 2:47pm

Kad merah tepat, TFC main agresif - Solari

KUALA TERENGGANU: Ketua jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT), Esteban Solari menegaskan kad merah kedua yang dilayangkan pengadil kepada pemain Terengganu FC (TFC) pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin malam tadi tepat.

Menurutnya, adalah perkara biasa setiap pasukan tidak berpuas hati apabila pemain mereka mendapat kad merah tetapi menegaskan keputusan pengadil, Mohd Fusser Mad Sallih itu bukan mahu memberi kelebihan kepada skuad kendaliannya.

"Ianya jelas kad merah dan bukan kelebihan yang diberikan oleh pengadil, mereka bermain dengan agresif, kad kedua sangat jelas, ia tidak bagus untuk pasukan jika menerima dapat kad merah.

"Saya jangkakan mereka akan beri tekanan di padang dan juga penyokong, jadi kami perlu bermain secara profesional," jelas Solari.

Terdahulu, pengendali TFC, Tomislav Steinbruckner menyifatkan kad merah kedua yang dilayangkan kepada Ivan Mamut 'membunuh' rentak permainan skuad Penyu untuk bangkit memburu jaringan.

Ia adalah kad merah kedua diterima TFC selepas Argzim Redzovic diperintahkan keluar padang selepas menerima kad kuning kedua pada minit ke-52.

Bagaimanapun, jurulatih kelahiran Argentina itu tanpa berselindung akui skuad kendalian Tomislav Steinbruckner mempunyai 'set piece' yang bahaya sehingga mampu menggegarkan jaring gol pasukannya.

"Jaringan pertama yang begitu cantik menerusi sepakan gunting oleh Fernando Forestieri boleh dikatakan 'turning point' buat pemain kami beraksi dengan lebih baik lagi, saya gembira kerana bertemu dengan lawan yang kuat dan kami bermain dan bertahan dengan baik," katanya.

Pemain Terengganu FC, Mohd Arif Fadzillah (kanan) ditenangkan oleh pengadil perlawanan selepas berlaku perselisihan faham antara pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Fernando Forestieri pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. - NSTP/Ghazali Kori
Pemain Terengganu FC, Mohd Arif Fadzillah (kanan) ditenangkan oleh pengadil perlawanan selepas berlaku perselisihan faham antara pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Fernando Forestieri pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. - NSTP/Ghazali Kori
Berita Harian X