Jumaat, 9 Jun 2023 | 10:25pm
Pemain Sri Pahang FC, Kpah Sherman meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan pada saingan Liga Super menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) di Stadium Darul Makmur. NSTP/Farizul Hafiz Awang
Pemain Sri Pahang FC, Kpah Sherman meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan pada saingan Liga Super menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) di Stadium Darul Makmur. NSTP/Farizul Hafiz Awang

Kebangkitan Sri Pahang buat NSFC melopong

KUANTAN: Sri Pahang FC bangkit daripada ketinggalan apabila menewaskan Negeri Sembilan FC (NSFC) 4-3 pada aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur, sebentar tadi.

Ketinggalan 1-3 pada separuh masa pertama tidak mematahkan semangat untuk tuan rumah mengutip tiga mata di halaman sendiri.

Namun, pada perlawanan itu, Negeri Sembilan bermula cemerlang apabila menjaringkan dua gol dalam tempoh 15 minit pertama perlawanan.

Dua gol pelawat, masing-masing satu dijaringkan oleh Levy Clement dan Shahrel Fikri Md Fauzi pada minit kelapan dan minit ke-15.

Ketinggalan 0-2 menyaksikan tuan rumah mula melakukan asakan ke kubu lawan dan pemain import, Michael Glassock menjaringkan gol tetapi dibatalkan kerana berada dalam kedudukan offside pada minit ke-22.

Namun, usaha itu berhasil apabila pemain pertahanan import, Stefeno Brundo menjaringan gol hasil sepakan penalti pada minit ke-23 sekali gus merapatkan jurang gol.

Selang seminit, penyerang import Negeri Sembilan, Casangrande meletakkan skuadnya kembali selesa dengan mendahului 3-1.

Selepas itu Sri Pahang berusaha untuk menambah jaringan tetapi terpaksa akur keputusan 3-1 kekal sebaik tamat separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, tuan rumah yang ketinggalan dua gol lebih banyak memberi tekanan kepada pelawat tetapi pertahanan kental menafikan tambahan jaringan buat Sri Pahang.

Sikap tidak berputus asa menyaksikan penyerang Tok Gajah, David Rowley menjaringkan gol kedua buat skuad itu pada minit ke-79.

Pada minit ke-89, Brundo menjaringkan gol penyamaan hasil sepakan percuma sebelum Kpah Sherman memastikan jaringannya pada masa kecederaan memastikan kemenangan buat Sri Pahang.

Berita Harian X