Jumaat, 9 Jun 2023 | 7:58pm
Antara aksi skuad Bawah 17 tahun negara (B-17) berdepan Arab Saudi di Stadium UiTM Shah Alam, petang tadi. Foto FAM
Antara aksi skuad Bawah 17 tahun negara (B-17) berdepan Arab Saudi di Stadium UiTM Shah Alam, petang tadi. Foto FAM

Arab Saudi benam skuad B-17 negara

KUALA LUMPUR: Skuad Bawah 17 tahun (B-17) jelas perlu bekerja keras sekiranya mahu mencetus impak di Piala Asia B-17 selepas tumbang dalam dua aksi persahabatan yang dirangka ketika ini.

Selepas kalah tipis 2-3 di tangan Uzbekistan, anak buah Osmero Omaro tewas besar 4-1 di tangan Arab Saudi pada aksi kedua di Stadium UiTM Shah Alam, petang tadi.

Pada aksi terbabit, Arab Saudi hanya memerlukan lima minit untuk mendahului menerusi Nawaf Nasser Albishri sebelum skuad negara mengikat kedudukan di hujung babak pertama hasil sentuhan Muhammad Dainei Mat Disa.

Namun, Arab Saudi sekali lagi menghukum skuad negara dengan gol pantas hanya selepas dua minit separuh masa kedua bersambung menerusi Nawaf yang meledak gol kedua peribadinya.

Skuad negara tampak kian sukar untuk bangkit apabila dibolosi kali ketiga pada minit ke-65 menerusi Talal Abubakr Abdullah sebelum Amar Hamer Alyuhaybi melengkapkan gol keempat Arab Saudi pada minit ke-84.

Dua kekalahan ini jelas menjadi pengajaran kepada barisan kejurulatihan skuad muda negara sebelum beraksi di Piala Asia B-17 yang akan berlangsung di Bangkok, minggu depan.

Pada kejohanan itu, skuad negara diundi dalam Kumpulan A bersama tuan rumah iaitu Thailand, Laos dan juga Yaman.

Empat pasukan terbaik pada kejohanan itu akan mendapat slot ke Piala Dunia B-17 2023 pada November.

Berita Harian X