KUALA LUMPUR: Teknologi video bantuan pengadil (VAR) berkemungkinan besar hanya dapat digunakan pada kejohanan Piala Malaysia hujung tahun ini.
Timbalan Presiden FAM, Datuk S Sivasundaram menjelaskan buat masa ini seramai 20 pengadil dan 10 penolong pengadil dari Kategori A dan A1 dipilih untuk latihan dan ditauliah sebagai pengadil VAR pada 2023.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM berkata, sebagai tambahan seramai 15 pengadil dan penolong pengadil akan turut dipanggil untuk mengikuti latihan VAR pada tahun ini dan mereka akan ditauliahkan pada 2024.
Katanya, bagi 2023, pelaksanaan VAR lebih tertumpu kepada latihan pengadil, VAR similator, 'live match training', pengiktarafan teknologi VAR dan pengiktirafan stadium yang akan menggunakan teknologi itu.
"Latihan untuk pengadil dan penolong pengadil VAR akan dijalankan dari Jun hingga November 2023 iaitu dalam tempoh enam bulan, jadi mungkin harapan kita untuk (gunakan VAR) pada Piala Malaysia.
"Ini adalah teknologi baharu di negara ini dan kita harap boleh gunakan untuk separuh akhir atau final Piala Malaysia," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis mengumumkan syarikat pengeluar minuman bertenaga, Extra Joss, PT Bintang Toedjoe sebagai rakan penaja terbaharu skuad bola sepak kebangsaan, Harimau Malaya di Wisma FAM, hari ini.
Sebagai rekod, FAM sebelum ini menyatakan hasrat untuk menggunakan VAR dalam beberapa perlawanan penting termasuk aksi separuh akhir dan final Piala Malaysia serta Piala FA tahun ini.
Namun, aksi separuh akhir Piala FA tahun ini dijadualkan berlangsung pada 24 dan 25 Jun ini, manakala final di Stadium Sultan Ibrahim pada Julai.