Isnin, 29 Mei 2023 | 8:17am
Pengendali Manchester United, Erik ten Hag yakin pasukannya mampu menewaskan Manchester City pada final Piala FA minggu depan. - Foto AFP
Pengendali Manchester United, Erik ten Hag yakin pasukannya mampu menewaskan Manchester City pada final Piala FA minggu depan. - Foto AFP

Ten Hag janjikan Piala FA buat peminat Manchester United

MANCHESTER: Erik ten Hag berjanji di hadapan penyokong setia Old Trafford sambil menegaskan Manchester United kendaliannya mempunyai peluang cerah untuk memenangi Piala FA serta menamatkan misi treble tetangganya, Manchester City.

United menamatkan musim Liga Perdana Inggeris dengan bangkit menewaskan Fulham 2-1, sekali gus mengesahkan kedudukan di tangga ketiga.

Selepas mengesahkan kelayakan ke Liga Juara-Juara Eropah dengan menewaskan Chelsea pada Khamis, United ketinggalan apabila Kenny Tete menanduk masuk gol pembukaan Fulham.

Fulham berpeluang menambah jaringan namun sepakan penalti Aleksandar Mitrovic diselamatkan oleh David de Gea sebelum Jadon Sancho dan Bruno Fernandes memastikan kemenangan United.

Jadon Sancho (kiri) dan Bruno Fernandes menjaringkan gol ketika Manchester United bangkit menewaskan Fulham 2-1 dalam aksi terakhir Liga Perdana Inggeris di Old Trafford. - Foto REUTERS
Jadon Sancho (kiri) dan Bruno Fernandes menjaringkan gol ketika Manchester United bangkit menewaskan Fulham 2-1 dalam aksi terakhir Liga Perdana Inggeris di Old Trafford. - Foto REUTERS

Ten Hag sudah menjadi wira kelab apabila memenangi Piala Liga dengan menewaskan Newcastle pada final Februari lalu dan menamatkan kemarau kejuaraan enam tahun Red Devils.

Pengendali dari Belanda itu yakin mereka mampu menambah trofi pada musim pertamanya di Old Trafford apabila United kembali ke Wembley minggu depan untuk aksi final Piala FA.

Anak buah Ten Hag berharap dapat menghalang City kendalian Pep Guardiola daripada mengulangi pencapaian United pada musim 1998-99 dengan memenangi Liga Perdana Inggeris, Piala FA dan Liga Juara-Juara Eropah.

Selepas menyerahkan trofi Sarung Tangan Emas kepada De Gea di atas perlawanan tanpa bolos terbanyak dalam saingan Liga Perdana Inggeris musim ini, Ten Hag menyuarakan hasratnya kepada penyokong setia United.

Penjaga gol Manchester United, David de Gea menjulang trofi Sarung Tangan Emas Liga Perdana Inggeris musim ini. - Foto AFP
Penjaga gol Manchester United, David de Gea menjulang trofi Sarung Tangan Emas Liga Perdana Inggeris musim ini. - Foto AFP

"Jika anda berada di belakang kami, saya pasti kami mempunyai peluang untuk membawa pulang piala (FA) ke Old Trafford.

"Kami menewaskan mereka pada Januari, tetapi saya rasa Man United sudah kerap menewaskan City beberapa tahun lalu.

"Jadi pemain-pemain ini tahu apabila bermain pada tahap sebenar mereka, mereka mampu bersaing.

"Saya sedar kita akan menentang pasukan terbaik buat masa ini, tetapi peluang tetap ada dan kami perlu memanfaatkannya dan memberikan segalanya," kata Ten Hag. - AFP

Berita Harian X