Sabtu, 27 Mei 2023 | 12:15pm
Jordi tak kisah bergandingan dengan sesiapa di benteng JDT.
Jordi tak kisah bergandingan dengan sesiapa di benteng JDT.

Jordi sedia hadapi aksi 'luar biasa' Penang

JOHOR BAHRU: Tonggak pertahanan Johor Darul Ta'zim (JDT), Jordi Amat bersedia untuk berdepan aksi `luar biasa' Penang FC pada pertembungan suku akhir kalah mati Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam esok.

Pemain warisan Indonesia itu yang memakai lilitan selaku kapten menegaskan walaupun skuad kendalian Manzoor Azwira Wahid dipalit dua kekalahan berturut-turut dalam saingan Liga Super, ia bukan bererti pasukan itu mudah ditewaskan sebaliknya saingan kalah mati berbeza dan pastinya mereka akan turun habis-habisan.

"Aksi suku akhir amat penting bagi kami kerana selaku juara bertahan sudah tentu mahu meneruskan momentum untuk melangkah ke separuh akhir tapi dalam masa sama kami perlu berwaspada dengan taktikal permainan Penang yang bakal beri tekanan.

"Oleh itu, kami perlu fokus sepanjang 90 minit permainan dan tidak boleh membuat kesilapan kerana kami tahu Penang bukanlah pasukan yang lemah malah mereka ada kekuatan tersendiri," katanya.

Ditanya mengenai gandingan yang bakal menerajui benteng pertahanan pada pertemuan menentang skuad Harimau Kumbang, bekas pemain Rayo Vallecano itu tidak berdepan masalah untuk digandingkan dengan sesiapa pun di posisi pertahanan malah dia tampak gembira dengan pencapaian ketika ini selepas memenangi 12 perlawanan dalam saingan liga dan hanya bolos satu gol sahaja.

"Saya tidak mempunyai masalah bergandingan dengan sesiapa pada setiap perlawanan kerana paling utama adalah berkomunikasi ketika beraksi malah antara Feroz (Baharuddin), Shahrul (Saad) dan Shane (Lowry) kerap memberi kerjasama yang baik, ketika latihan dan juga pada perlawanan sebenar," kata Jordi.

Sementara itu, pengendali JDT, Esteban Solari tetap menganggap ia perlawanan yang sukar buat pasukan itu memandangkan Penang FC memberi kualiti permainan yang baik dan mempamerkan corak permainan pantas.

"Kami memberi penekanan terhadap latihan `set-piece' dan persiapan tampak berjalan dengan baik dan pemain tampak sudah bersedia untuk aksi kalah mati," kata Solari.

Berita Harian X