Kuala Terengganu: Penolong jurulatih Penang FC, Manzoor Azwira Abd Wahid menyifatkan aksi suku akhir Piala FA berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, Ahad ini umpama cerita kura-kura dan arnab.
Manzoor mengakui Penang bakal berdepan tugas berat untuk menentang juara Liga Super sembilan kali berturut-turut itu, apatah lagi ia membabitkan aksi kalah mati.
Dia bagaimanapun tetap mengharapkan barisan pemainnya dapat memberikan aksi terbaik dan cuba mencipta kejutan.
"Jika boleh saya katakan pasukan kami dengan JDT umpama cerita arnab dengan kura-kura. Kami ibarat kura-kura manakala JDT ibarat arnab, jadi nampak mustahil kura-kura nak menang lawan arnab.
"Tapi jika sudah tertulis pasukan kami berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir, ini mungkin rezeki kami. Apa yang penting pemain perlu berusaha lebih gigih biarpun beraksi di tempat lawan.
"Kami sampai ke suku akhir adalah pencapaian terbaik, cuma jika ada rezeki dapat tundukkan JDT, mungkin baik untuk kami. Jika tewas kami tetap berpuas hati dapat melangkah hingga ke peringkat ini," katanya.
Dia berkata demikian selepas aksi Liga Super berdepan Terengganu FC (TFC) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, semalam yang menyaksikan Penang tewas 1-0.
Mengulas perlawanan berdepan TFC, Manzoor yang dibantu MD Noor Derus mengakui pasukannya tidak bernasib baik untuk sekurang-kurangnya membawa pulang satu mata apabila dipisahkan dengan jaringan tunggal Muhammad Nur Shakir Engku Yacob pada minit ke-74.