Isnin, 22 Mei 2023 | 11:04am
Nasrullah (kanan) mahu rakan sepasukan kekalkan persembahan terbaik bagi memburu kemenangan ketiga berturut-turut. Foto Ihsan FB NSFC.
Nasrullah (kanan) mahu rakan sepasukan kekalkan persembahan terbaik bagi memburu kemenangan ketiga berturut-turut. Foto Ihsan FB NSFC.

Negeri Sembilan FC buru kemenangan hatrik

SEREMBAN: Pasukan Negeri Sembilan FC (NSFC) memburu kemenangan ketiga berturut-turut apabila melayan kunjungan Kelantan United FC pada aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam esok.

Selepas berjaya menewaskan Kuala Lumpur (KL) City FC dan PDRM FC, skuad Hobin Jang Hobin tidak mahu mensia-siakan peluang beraksi di laman sendiri bagi mengutip tiga mata.

Penolong ketua pasukan, Nasrullah Hanif Johan, berkata kemenangan dalam dua perlawanan sebelum ini meningkatkan lagi tahap keyakinan dia dan rakan sepasukan.

"Saya yakin dan percaya, hasil dua kemenangan yang dicatatkan ke atas pencabar terkuat iaitu KL City dan PDRM, akan menambahkan lagi keyakinan diri pemain untuk mengekalkan persembahan cemerlang dan seterusnya memastikan kemenangan," katanya.

Tonggak pertahanan berpengalaman kelahiran Seremban itu, bagaimanapun mengingatkan rakan sepasukan supaya tidak memandang mudah cabaran pasukan lawan.

Menurutnya, walaupun lawan berkenaan berada di kedudukan terbawah liga tetapi mereka juga mempunyai pemain tempatan berpengalaman dan import yang baik serta berupaya menjaringkan gol termasuk dalam situasi sukar.

"Saya dan rakan sepasukan perlu berhat-hati dengan memastikan tidak leka dan melakukan kesilapan mudah sepanjang tempoh permainan terutama dalam kawasan gol sendiri," katanya.

Selepas menamatkan 11 perlawanan, skuad bimbingan K Devan kini berada di tangga ke tujuh liga dengan mengumpul 16 mata hasil empat kemenangan, empat seri dan tiga tewas.

Berita Harian X