Ahad, 21 Mei 2023 | 5:17pm
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Mohamad Taufek Abdul Ghani membuat balingan bola boling padang selepas merasmikan kejohanan. Foto Mohd Amin Jalil
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Mohamad Taufek Abdul Ghani membuat balingan bola boling padang selepas merasmikan kejohanan. Foto Mohd Amin Jalil

Negeri Sembilan pertimbang tawaran Zeon Zoysia dari KBS

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan tidak berhasrat untuk menolak tawaran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang menawarkan peruntukan bagi menaik taraf dan penanaman rumput jenis Zeon Zoysia di padang Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Datuk Mohamad Taufek Abdul Ghani berkata kerajaan negeri memohon untuk KBS memberi ruang sehingga tempoh tarikh akhir tawaran itu.

"Kita tidak menolak tawaran itu tetapi buat masa ini belum bersedia untuk melaksanakan projek menaik taraf dan menukar rumput Zeon Zoysia di Stadium Tuanku Abdul Rahman.

"Kita berharap KBS dapat memberi masa kepada kerajaan negeri sehingga akhir tahun ini atau tempoh terakhir yang ditetapkan kementerian terhadap tawaran berkenaan.

"Jika tawaran itu berakhir Oktober depan, kita akan patuh dengan tempoh yang ditetapkan. Saya berharap Menteri Hannah Yeoh dapat mempertimbangkan cadangan saya sehingga tempoh terakhir tawaran itu. Kita akan berusaha membuat persiapan ke arah pelaksanaan projek berkenaan," katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Kejohanan Boling Padang Orang Kurang Upaya (OKU) Terbuka Negeri Sembilan 2023 di Kompleks Sukan Seremban 2, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Presiden Persatuan Boling Padang OKU Malaysia (PBPOKUM), Jariah Zakaria.

Beliau mengulas mengenai perkembangan projek menaik taraf dan penukaran rumput di Stadium Tuanku Abdul Rahman yang sehingga kini dilihat belum dimulakan.

Terdahulu, Hannah Yeoh dilaporkan berkata, pihaknya sedang menunggu maklum balas setiap wakil negeri mengenai perkara itu dan perlu memilih satu stadium selain perlu menjalankan penyelenggaraan awal sebelum meluluskan peruntukan terbabit.

Sebelum ini, KBS mengumumkan bantuan berjumlah RM1 juta melalui dana geran padanan kepada semua EXCO belia dan sukan negeri bagi menaik taraf padang bola sepak dengan penanaman rumput jenis Zeon Zoysia di padang yang terpilih.

Mohamad Taufek yang juga Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) berkata, kerajaan negeri akui tawaran KBS terbabit perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi meletakkan STAR Paroi setanding dengan stadium lain sekali gus berpeluang bagi penganjuran perlawanan bola sepak bertaraf antarabangsa.

"Bagi saya, memang rugi jika tidak dapat memanfaatkan tawaran KBS itu kerana ia dapat memberi imej baharu kepada Stadium Tuanku Abdul Rahman," katanya.

Isu rumput di padang stadium utama negeri timbul baru-baru ini selepas pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menggesa semua pihak terbabit menaik taraf padang stadium masing-masing kepada rumput yang lebih berkualiti.

Beliau yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) menjelaskan bahawa rumput lembu atau 'cowgrass' tidak lagi sesuai digunakan dalam bola sepak moden.

Berita Harian X