Ahad, 21 Mei 2023 | 12:20pm
Tonggak utama Manchester City, Kevin De Bruyne nyata cemerlang membantu pasukan itu muncul antara yang terbaik di Eropah musim ini. - AFP
Tonggak utama Manchester City, Kevin De Bruyne nyata cemerlang membantu pasukan itu muncul antara yang terbaik di Eropah musim ini. - AFP

Peluang City bergelar 'Raja Eropah' sebenar

MANCHESTER City adalah pasukan terbaik di Eropah, secara tidak langsung menjadikan mereka yang terbaik di dunia dan apa sahaja yang berlaku pada final Liga Juara-Juara menentang Inter Milan pada 10 Jun akan datang tidak akan mengubah semua itu.

Tanyalah Real Madrid, penyandang juara Eropah dan dunia, yang dibelasah 4-0 pada separuh akhir kedua di Stadium Etihad, Manchester.

Namun tiada siapa mahu diingati sebagai pasukan terbaik tetapi tidak pernah memenangi Piala Eropah, jadi Inter Milan perlu menerima hakikat mereka akan berdepan aksi paling getir menentang City di Istanbul, Turkiye bulan depan.

Manchester City di bawah pengurus Pep Guardiola sedang berusaha untuk mencipta sejarah yang belum pernah mereka lakarkan.

Ketika City masih merayu 115 pertuduhan kerana melanggar peraturan Liga Perdana Inggeris (EPL) antara 2009 hingga 2018, sejarah mungkin melihat pencapaian pasukan itu menerusi lensa berbeza tetapi kini aksi di tengah padang satu-satunya kayu pengukur yang amat ketara.

Selepas menyingkirkan Real dengan persembahan memukau, penuh bertenaga dan berkesan di Manchester sesudah seri 1-1 di Madrid pada aksi separuh akhir pertama, Manchester City membuktikan mereka patut ditabal sebagai raja baharu bola sepak Eropah.

Ia satu kemenangan besar, menyamai kekalahan terbesar Real Madrid dalam Liga Juara-Juara, yang hadir di Anfield menentang Liverpool pada 2008-09.

Setiap pemain City mendominasi lawan mereka dari Real dan jika mereka mahu membalas dendam kekalahan dramatik pada separuh akhir musim lalu menentang pasukan kendalian Carlo Ancelotti, jelas mereka berjaya melakukannya.

Ia seperti menonton juara tinju heavyweight dunia membelasah pencabarnya yang tidak mempunyai sebarang harapan.

Namun Real Madrid bukanlah pencabar kerdil - mereka adalah Real Madrid.

Malam itu menyaksikan Kevin De Bruyne, John Stones, Kyle Walker, Ruben Dias, Rodri, Jack Grealish dan Bernardo Silva, wira dua gol pada babak pertama, menghasilkan persembahan 10 daripada 10 untuk mengecewakan lawan bertaraf dunia.

Tiada pasukan yang mampu menyaingi City ketika ini.

Mereka menang 19 daripada 23 perlawanan terakhir dan tidak kalah.

Tiga kejuaraan dalam tiga pertandingan apa yang mereka mahukan sekarang untuk melengkapkan apa yang dipanggil 'treble'.

Inter Milan mungkin boleh mencipta satu kejutan terbesar sepanjang zaman jika mereka mengalahkan Manchester City di Stadium Ataturk, Istanbul bulan depan, tetapi tiada siapa boleh mempersoalkan ia pasti menjadikan skuad kendalian Simone Inzaghi lebih bagus berbanding pasukan Guardiola.

Bagaimanapun Guardiola sudah melakukan apa yang diminta pemilik Manchester City yang berpangkalan di Abu Dhabi apabila beliau dilantik sebagai pengurus pada 2016.

Bekas jurulatih Barcelona dan Bayern Munich itu ditugaskan untuk menjadikan City pasukan terbaik di Eropah dan di dunia.

Beliau boleh menyatakan misinya berjaya apabila Piala Eropah akhirnya dipamerkan di kabinet trofi kelab itu pada pagi 11 Jun.

City tewas di tangan Chelsea dalam satu-satunya penampilan final Liga Juara-Juara di Porto pada 2021 tetapi kali ini kelihatannya momentum pasukan Guardiola sukar digugat.

"Perlawanan akhir menentang pasukan Itali bukannya satu hadiah terbaik, secara jujurnya," kata Guardiola.

"Mereka (Inter) terlalu kompetitif. Kemenangan ini (separuh akhir) pastinya akan menerbitkan banyak pujian, tetapi kami ada masa untuk mempersiapkan diri secara mental.

"Apabila anda layak ke final Liga Juara-Juara, anda harus meraikannya. Malangnya, kami tidak mempunyai masa kerana banyak lagi cabaran getir menanti selepas ini."

INFO

PENCAPAIAN CITY DALAM LIGA JUARA-JUARA

2022-23 Final

2021-22 Separuh akhir

2020-21 Final

2019-20 Suku akhir

2018-19 Suku akhir

2017-18 Suku akhir

2016-17 Pusingan 16

2015-16 Separuh akhir

2014-15 Pusingan 16

2013-14 Pusingan 16

2012-13 Peringkat kumpulan

Berita Harian X