Ahad, 21 Mei 2023 | 7:33am
Penyerang Nottingham Forest, Taiwo Awonyi menjaringkan gol ketika aksi Liga Perdana Inggeris menentang Arsenal di The City Ground, Nottingham. - Foto AFP
Penyerang Nottingham Forest, Taiwo Awonyi menjaringkan gol ketika aksi Liga Perdana Inggeris menentang Arsenal di The City Ground, Nottingham. - Foto AFP

Arsenal kecundang, Man City juara EPL

LONDON: Manchester City memenangi gelaran Liga Perdana Inggeris buat kali kelima dalam enam musim selepas pesaing terdekat, Arsenal tewas 1-0 di tangan Nottingham Forest.

Peluang The Gunners untuk mengejar City tertutup sepenuhnya selepas kekalahan kedua berturut-turut meletakkan anak buah Mikel Arteta empat mata di belakang pendahulu dengan hanya satu perlawanan berbaki.

Jaringan Taiwo Awoniyi di babak pertama turut memastikan Forest berjaya mengelak penyingkiran pada musim pertama kembali ke Liga Perdana Inggeris selepas 23 tahun.

Reaksi pengendali Arsenal, Mikel Arteta ketika aksi Liga Perdana Inggeris menentang Nottingham Forest di The City Ground, Nottingham. - Foto REUTERS
Reaksi pengendali Arsenal, Mikel Arteta ketika aksi Liga Perdana Inggeris menentang Nottingham Forest di The City Ground, Nottingham. - Foto REUTERS

Gelaran ketiga berturut-turut City menjadikan perlawanan liga di laman sendiri menentang Chelsea malam ini sebagai medan meraikan kejuaraan.

Skuad kendalian Pep Guardiola kini boleh memberikan tumpuan untuk melengkapkan treble apabila berdepan Manchester United dan gergasi Itali, Inter Milan pada final Piala FA dan Liga Juara-Juara Eropah bulan depan.

"Tahniah buat Manchester City kerana memenangi kejuaraan tetapi ia hari yang menyedihkan buat kami.

"Kini kami perlu berdepan realiti, hari ini kami dibolosi dan gagal menembusi benteng mereka. Kami boleh bermain untuk tiga jam tetapi masih akan gagal melakukannya," kata Arteta, bekas penolong Guardiola di City.

Pengendali Nottingham Forest, Steve Cooper meraikan kemenangan ke atas Arsenal dalam aksi Liga Perdana Inggeris di The City Ground, Nottingham. - Foto REUTERS
Pengendali Nottingham Forest, Steve Cooper meraikan kemenangan ke atas Arsenal dalam aksi Liga Perdana Inggeris di The City Ground, Nottingham. - Foto REUTERS

Sementara itu pengendali Forest, Steve Cooper berkata: "Kami mengehadkan pergerakan mereka, keazaman kuat untuk menang dan berjaya melakukannya."

Manchester United dan Newcastle semakin hampir untuk mengesahkan kelayakan ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan selepas Liverpool seri 1-1 menentang Aston Villa.

Kedua-dua pasukan yang terikat di tangga keempat dan ketiga liga itu kini tiga mata di depan Liverpool, yang hanya berbaki satu perlawanan. - AFP

Berita Harian X