KUANTAN: Pengendali Sri Pahang FC (SPFC), Fandi Ahmad mahu anak buahnya tenang apabila berdepan Penang FC di Stadium Darul Makmur, petang esok.
Lagenda bola sepak Singapura itu berkata, bukan sahaja ketahanan fizikal, malah mental juga diberikan fokus utama apabila beraksi pada waktu petang.
"Apa yang penting adalah daripada segi mental kerana akan bermain dalam keadaan cuaca panas.
"Setakat ini persediaan yang dilakukan begitu positif terutama untuk memanfaatkan kelebihan beraksi di halaman sendiri.
"Saya harap pemain dapat bermain dengan tenang dan beraksi dengan penuh keyakinan.
"Seharusnya peluang yang ada tidak dipersia-siakan untuk memastikan kemenangan milik kita," katanya.
Mengulas prestasi semasa pasukan lawan, Fandi mengakui lawannya itu berada prestasi terbaik kerana memiliki semangat juang tinggi.
Justeru, anak buahnya perlu lebih berwaspada dengan kebangkitan yang dijangka dipersembahkan lawan.
"Bagi saya pasukan Penang FC kini begitu bersemangat dan sedang bangkit kerana memiliki beberapa pemain yang bijak bertindak," katanya.
Pada perlawanan esok, SPFC dijangka mempertaruhkan dua penyerang import, Kpah Sherman dan Lucas Silva untuk membolosi gawang Penang.
Namun, skuad Tok Gajah tidak dapat menyenaraikan Nor Azam Azih dan Stefano Brundo akibat kecederaan dan penggantungan.
Selepas 10 perlawanan, SPFC berada di kedudukan ketiga Liga Super selepas mengutip 22 mata iaitu enam kemenangan dan empat keputusan seri.