MANCHESTER: Anthony Martial mengukuhkan kembali kedudukan Manchester United dalam kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris selepas penyerang Perancis itu menamatkan kemarau jaringannya dalam kemenangan 2-0 ke atas Wolves.
Martial mengharungi lapan perlawanan tanpa menjaringkan gol sebelum menemui sasaran pada babak pertama aksi di Old Trafford.
Kemenangan pertama United dalam tiga perlawanan dilengkapkan dengan jaringan masa kecederaan Alejandro Garnacho.
Selepas kekalahan di tangan Brighton dan West Ham menjejaskan harapan mereka untuk layak ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan, skuad kendalian Erik ten Hag kembali mengutip tiga mata.
United yang berada di tangga keempat berdasarkan perbezaan jaringan dengan Newcastle, melebarkan jurang kepada empat mata ke atas Liverpool, yang akan berdepan Leicester esok.
Selepas perlawanan itu, United masih mempunyai baki tiga perlawanan manakala Liverpool hanya dua.
"Penting. Kami perlu bangkit selepas kekalahan besar. Kami tidak bertenaga dan bermain perlahan dalam perlawanan-perlawanan itu.
"Kami sangat bagus dalam menjadikan penjaga gol lawan sebagai pemain terbaik perlawanan. Kami perlu menjadi lebih tajam.
"Kami perlu lebih bijak memanfaatkan peluang. Setiap perlawanan adalah sukar. Anda perlu bersedia pada setiap perlawanan," kata Ten Hag.
Bekas pengendali, Ole Gunnar Solskjaer kembali ke Old Trafford buat pertama kali sejak dipecat pada November 2021. - AFP