MANCHESTER: Pemain termahal England, Jack Grealish semakin menunjukkan keserasian selepas diikat Manchester City dengan nilai 100 juta pound (RM554 juta), dengan prestasinya dilihat agak suram pada musim pertamanya di Etihad.
Anak buah Pep Guardiola semakin hampir untuk meraih gelaran trebel - Liga Perdana Inggeris (EPL), Liga Juara-Juara dan Piala FA - tatkala Grealish dilihat berada di pertengahan prestasi sejak Piala Dunia.
City bakal beraksi di potensi penentuan gelaran EPL menentang Arsenal awal pagi Khamis ini dengan jurang lima mata di belakang pendahulu carta liga itu, tetapi dilihat akan menguasai pertembungan berkenaan dengan kelebihan dua perlawanan dalam tangan.
Walaupun rekod nilai harga Grealish berlaku ketika berpindah dari Aston Villa pada 2021 namun pemain berkenaan banyak diketepikan dalam pemburuan gelaran musim lalu yang dimenangi mereka dengan kelebihan satu mata berbanding Liverpool.
Sejak itu, pemain kebangsaan England ini sudah mula mendapat perhatian Guardiola selepas semusim cuba mengubah corak permainan dan kesesuaiannya.
"Dia bermain dengan sangat bagus musim ini. Namun dalam masa sama, seperti dia tahu, kami mahukan sesuatu yang lebih lagi," kata Guardiola.
"Sekarang ini, dia percaya yang dia adalah sebahagian daripadanya. Mungkin ketika dia tiba di sini, dia berfikir: 'Saya tidak cukup bagus selepas pasukan menjuarai Liga Perdana.'
"Kadangkala pemain dapat menyesuaikan diri dengan cepat, adakalanya juga mereka perlukan masa. Jack tidak tiba di sini untuk hanya satu musim, dia ke sini untuk jangka masa panjang. Dia pemain penting buat kami."
Grealish sudah menyertai barisan utama City pada 12 perlawanan EPL sebelum ini termasuk keempat-empat perlawanan Liga Juara-Juara di peringkat kalah mata setakat ini.
"Saya fikir Pep mempunyai kepercayaan terhadap saya dalam perlawanan utama bagi membantu keyakinan," kata Grealish bulan lalu.
"Saya fikir saya sudah membalasnya, memainkan peranan saya, melakukannya dengan baik. Saya fikir, sebab itulah dia mengekalkan saya dalam pasukan."
Grealish mula memainkan peranan penting dalam perlawanan penting, antaranya menjaringkan gol bagi membolehkan City kembali di depan ketika menewaskan Arsenal 3-1 di Emirates, Februari lalu. - AFP