Ahad, 23 April 2023 | 8:00am
Reaksi Diogo Jota (kiri) selepas meledak gol pertama Liverpool ketika menentang Nottingham Forest di Anfield, malam tadi. - Foto REUTERS
Reaksi Diogo Jota (kiri) selepas meledak gol pertama Liverpool ketika menentang Nottingham Forest di Anfield, malam tadi. - Foto REUTERS

Liverpool menang tipis di Anfield

LIVERPOOL: Diogo Jota dan Mohamed Salah meledak gol bagi membantu Liverpool menumpaskan pasukan sedang bergelut di Liga Perdana Inggeris (EPL), Nottingham Forest 3-2 semalam sekali gus membantu mereka melonjak ke kedudukan ketujuh liga.

Pada perlawanan yang berlangsung di Anfield itu, kesemua jaringan hadir pada babak kedua, menyaksikan Jota menanduk masuk gol pembukaan pada minit ke-47 sebelum Forest menyamakan kedudukan menerusi bekas pemain bek Liverpool, Neco Williams.

Jota kemudian meletakkan Liverpool kembali mendahului perlawanan pada minit ke-55 namun kedudukan disamakan semula oleh jaringan Morgan Gibbs-White pada minit ke-67.

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp mahu pasukannya terus meningkat dalam baki aksi EPL musim ini. - AFP
Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp mahu pasukannya terus meningkat dalam baki aksi EPL musim ini. - AFP

Meskipun begitu, pengurus Liverpool, Juergen Klopp tetap berpuashati dengan kemenangan tipis berkenaan namun kecewa terhadap barisan pertahanannya yang goyah terutama apabila pertembungan menentang pasukan yang mempunyai rekod serangan kedua terburuk dalam liga.

"Ia adalah perlawanan yang sukar menentang blok bawah," kata Klopp. "Kesemua keadaan huru-hara ini berlaku ketika lontaran ke dalam yang kamu perlu cuba elakkan.

"Terlalu banyak situasi, kami tidak mampu mengatasinya dengan baik tetapi selain daripada itu, saya sangat gembira."

Penyerang Liverpool, Mohamed Salah (kiri) diasak pemain Nottingham Forest, Emmanuel Dennis. - Foto REUTERS
Penyerang Liverpool, Mohamed Salah (kiri) diasak pemain Nottingham Forest, Emmanuel Dennis. - Foto REUTERS

Kemenangan muktamad Liverpool hadir selang tiga minit selepas jaringan kedua Forest menerusi jaringan Salah.

"Saya fikir ia adalah satu kemenangan yang penting dan ia susulan daripada kemenangan sebelum ini," kata Jota yang kini sudah meledak empat gol dalam dua perlawanan selepas gagal menjaringkan gol pada 32 penampilannya bersama kelab. - REUTERS

Pemain pertahanan Nottingham Forest, Neco Williams mengasak penyerang, Darwin Nunez. - Foto AFP
Pemain pertahanan Nottingham Forest, Neco Williams mengasak penyerang, Darwin Nunez. - Foto AFP

Berita Harian X