Rabu, 19 April 2023 | 6:57am
Pemain Real Madrid, Rodrygo menewaskan penjaga gol Chelsea, Kepa Arrizabalaga ketika aksi suku akhir kedua Liga Juara-Juara Eropah di Stamford Bridge, London. - Foto AFP
Pemain Real Madrid, Rodrygo menewaskan penjaga gol Chelsea, Kepa Arrizabalaga ketika aksi suku akhir kedua Liga Juara-Juara Eropah di Stamford Bridge, London. - Foto AFP

Rodrygo ledak dua gol singkir Chelsea

LONDON: Real Madrid mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah dengan kemenangan 2-0 ke atas Chelsea dan 4-0 secara agregat, sekali gus mengakhiri misi kelab London itu untuk menyelamatkan musim mereka.

Pasukan tuan rumah, dengan Frank Lampard kembali sebagai pengendali, bermula cemerlang dalam aksi di Stamford Bridge itu, namun terlepas dua peluang keemasan di babak pertama untuk membuka jaringan yang akan memberi tekanan ke atas juara bertahan berkenaan.

Gergasi Sepanyol itu sebaliknya menghukum kealpaan Chelsea apabila Rodrygo memecah kebuntuan pada minit ke-58 dan menggandakan jaringannya ketika permainan berbaki 10 minit.

Franks Lampard tewas kesemua empat perlawanan sejak kembali sebagai pengendali sementara Chelsea. - Foto REUTERS
Franks Lampard tewas kesemua empat perlawanan sejak kembali sebagai pengendali sementara Chelsea. - Foto REUTERS

Chelsea, juara Eropah 2021, kini tewas kesemua empat perlawanan sejak Lampard kembali sebagai pengendali sementara menggantikan Graham Potter yang dipecat awal bulan ini.

"Kami bermain sangat baik untuk 60 minit pertama. Kami mencipta peluang tetapi anda perlu menyempurnakannya," kata Lampard yang pernah membimbing Chelsea dari tahun 2019 sehingga awal 2021.

Pemain Real Madrid, Rodrygo (tengah) meraikan jaringan ketika aksi suku akhir kedua Liga Juara-Juara Eropah menentang Chelsea di Stamford Bridge, London. - Foto REUTERS
Pemain Real Madrid, Rodrygo (tengah) meraikan jaringan ketika aksi suku akhir kedua Liga Juara-Juara Eropah menentang Chelsea di Stamford Bridge, London. - Foto REUTERS

Pengendali Real Madrid, Carlo Ancelotti mengekalkan skuad yang memenangi aksi suku akhir pertama minggu lalu, manakala Lampard menyenaraikan Reece James, Mateo Kovacic dan N'Golo Kane dalam kesebelasan utamanya kali ini.

"Kami diasak tetapi berjaya mengekalkan kedudukan 0-0 sehingga tamat babak pertama. Babak kedua kami lebih baik dan menjaringkan dua gol. Kami gembira dapat layak," kata Ancelotti.

Chelsea sudah tersingkir daripada kedua-dua piala domestik, dan kini menduduki tangga ke-11 Liga Perdana Inggeris dan semakin jauh untuk layak ke kejohanan Eropah musim depan.

Real Madrid dijangka akan berdepan Manchester City pada separuh akhir, dengan skuad kendalian Pep Guardiola itu mempunyai kelebihan 3-0 ke atas Bayern Munich menjelang aksi timbal balik awal pagi esok. - AFP

Berita Harian X