KUALA LUMPUR: Pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) tampak 'melahirkan' gandingan 'raksasa' di hadapan gol pada musim ini menerusi kelibat penyerang import, Fernando Forestieri dan anak tempatan, Arif Aiman Hanapi.
Dua pemain itu mengungguli carta penjaring terbanyak dan bantuan gol terbanyak yang menyaksikan mereka menghasilkan kombinasi 22 gol daripada 36 gol diledak Harimau Selatan setakat ini.
Forestieri kini memegang status sebagai penjaring terbanyak dengan tujuh gol, dua gol mengatasi Arif Aiman dan dua pemain itu turut mencipta bantuan gol masing-masing dengan lima bantuan gol.
Namun pada usia 20 tahun, Arif Aiman jelas menunjukkan dia berada pada kelas yang berbeza berbanding rakan seusia sekali gus mengukuhkan lagi potensinya sebagai bintang masa depan negara.
Prestasi mengagumkan pemain sayap lincah itu dibuktikan apabila dia terbabit dalam menerbitkan gol buat JDT sepanjang lapan perlawanan apabila dia menjaringkan gol ataupun mencipta bantuan gol.
Pada aksi Piala Sultan Haji Ahmad Shah, Arif Aiman mencipta satu bantuan gol sebelum membuka akaun golnya musim ini ketika berdepan KL City FC dan turut menambah satu lagi gol ketika membelasah Negeri Sembilan FC (NSFC) 7-0.
Satu gol disumbangkan Arif Aiman ketika JDT menang 5-1 ke atas Kelantan FC sebelum dia turut membantu mencipta satu gol dalam perlawanan menentang Selangor FC (SFC).
Satu gol dan satu bantuan gol direkodkan Arif Aiman pada pertemuan berdepan Sabah FC sebelum satu hantaran gol untuk membantu membelasah Perak FC 5-0.
Pada aksi terakhir berdepan Kedah Darul Aman (KDA) FC, Arif Aiman mencetak gol kelima dan mencatat bantuan gol kelimanya musim ini.
Anak kelahiran Kuantan itu menjadi antara watak penting buat JDT pada musim yang menyaksikan anak buah Esteban Solari itu 'kenduri gol' dan tempatnya dilihat sukar digugat pemain lain.
Berdasarkan prestasi ditunjukkan, pemain itu pasti dibariskan dalam kesebelasan utama dan hanya kecederaan ataupun faktor direhatkan sahaja dilihat bakal 'menghantar' pemain itu ke bangku simpanan.