GEORGETOWN: Skuad Harimau Kumbang mahu mengambil pendekatan realistik dalam berdepan prestasi yang masih dianggap tidak konsisten meskipun berjaya menundukkan PDRM FC 4-2 pada saingan Liga Super di Stadium Bandaraya, malam tadi.
Penolong ketua jurulatih Penang FC, Manzoor Azwira Abd Wahid berkata faktor jadual padat dengan pasukannya belum bercuti rehat hampir sebulan menyaksikan anak buahnya lebih banyak 'melihat bola' terutamanya pada babak pertama perlawanan.
"Pada malam ini (semalam) kita dapat lihat pemain berada dalam keadaan 'ball watching' selain lebih mengharapkan rakan sepasukan untuk mengambil bola dan membuat hantaran jadi daripada aspek itu mungkin mereka agak kurang baik.
"Tetapi pada separuh masa kedua selepas kita berbincang dengan pemain untuk fahamkan betapa pentingnya perlawanan itu, syukur Alhamdulillah mereka berjaya melakukannya," katanya selepas perlawanan.
Manzoor berpandangan bukan mudah menjinakkan PDRM biarpun kem pelawat beraksi dengan 10 pemain pada minit ke-40 selepas pemain tengahnya, Fadi Mahmoud menerima layangan kad kuning kedua selepas mengasari Nik Akif Syahiran.
Beliau berkata sebagai contoh, pihaknya pernah berdepan situasi sama apabila turun dengan 10 pemain tetapi memperoleh keputusan seri ketika menentang Kuala Lumpur City FC yang sepatutnya pasukan lawan mempunyai kelebihan untuk menang.
"Kadang-kadang pemahaman sesetengah pihak, anggap mudah tetapi hakikatnya walaupun lawan 10 pemain tetapi melibatkan pasukan lengkap import, naturalisasi dan sudah dua tiga tahun kekal bersama bukan senang.
"Tambahan pula pasukan kita masih baharu bukanlah kita nak bagi alasan tetapi itulah realitinya," jelasnya.
Justeru dalam menggalas harapan semua pihak terutamanya penyokong yang mahu melihat skuad Harimau Kumbang terus melakar kemenangan dan menunjukkan aksi terbaik beliau berharap pemain dapat menjaga diri sebaik mungkin.
"Konsistensi bukan satu benda yang mudah saya rasa kalau boleh disampaikan sebelum dua minggu sebelum 31 Mac lalu kita main dengan Perak FC sehingga ke hari ini kami masih belum lagi cuti rehat dan hari-hari bekerja.
"Bayangkan dalam keadaan berpuasa dengan nak buat latihan bukan satu perkara mudah jadi saya harap juga penyokong lebih memahami ini bukan luahan kecewa sekarang saya cuma minta adalah aura positif untuk bagi semangat dan motivasi kepada pasukan," katanya.
Skuad Harimau Kumbang kini berada pada kedudukan kelapan carta Liga Super 2023 selepas melonjak dua anak tangga dan dijadual melayan kunjungan Kelantan United FC di Stadium Bandaraya pada 18 April ini.