LONDON: Manchester United merampas kedudukan ketiga Liga Perdana Inggeris (EPL) dari Newcastle United selepas menewaskan Everton 2-0 di Stadium Old Trafford, sebentar tadi.
Bagaimanapun, kemenangan itu terpaksa dibayar dengan harga mahal apabila Marcus Rashford terpaksa digantikan oleh Wout Weghorst selepas mengalami kecederaan.
Red Devils perlu berharap kecederaan penyerang utama itu tidak serius memandangkan mereka bukan saja memburu slot kelayakan ke Liga Juara-Juara tetapi juga masih berpeluang merebut kejuaraan Liga Europa dan Piala FA.
Meskipun mendapat beberapa peluang terhidang sejak awal permainan, skuad kendalian Erik Ten Hag terpaksa menunggu minit ke-36 untuk berada di hadapan apabila Scott McTominay menyudahkan umpanan Jadon Sancho.
Anthony Martial kemudian mengukuhkan kedudukan buat Manchester United selepas bijak menyempurnakan hantaran Marcus Rashford pada minit ke-71, sekali gus mengesahkan kemenangan Red Devils.
Keputusan itu menyaksikan United kini mengumpul 56 mata, 16 mata di belakang pendahulu, Arsenal dan tiga mata di depan Newcastle yang jatuh ke tangga keempat.
Everton yang mengalami kekalahan ke-15 musim ini pula kekal di kedudukan ke-16 dengan mengumpul 27 mata selepas mengharungi 30 perlawanan. - AGENSI