KUALA LUMPUR: Semua pasukan Liga Malaysia (Liga M) diingatkan supaya tidak terpalit dengan isu tunggakan gaji seperti yang berlaku kepada beberapa pasukan sebelum ini.
Ia kerana Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) sangat serius dalam membantu pemain menuntut hak mereka seandainya terdapat pasukan yang gagal melunaskan tanggungjawab selaku majikan.
Presiden PFAM, Safee Sali menjelaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pasukan selain sentiasa bekerja rapat dengan Persekutuan Pemain Profesional Antarabangsa (FIFPro).
Beliau berkata, PFAM juga sudah mengheret isu tunggakan gaji membabitkan Melaka United dan Sarawak United kepada Badan Penyelesaian Pertikaian Nasional (NDRC) Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang akan bersidang Khamis ini.
Malah, katanya, kes dua pasukan itu juga bakal diheret ke mahkamah dan ia membuktikan bahawa PFAM serius dalam membantu pemain mendapatkan hak mereka.
"PFAM sangat serius dalam menangani masalah ini dan kita cuba membawa masalah ini ke peringkat mahkamah dan sebagainya. NDRC pun kita dah membantu untuk adakan.
"Jadi dengan bantuan FIFPro, kita sentiasa ada bantuan komunikasi yang baik dengan ahli FIFPro dan kita akan lebih tegas dalam membela hak pemain serta tidak akan berundur dengan pendirian kita.
"Pada 6 April akan ada mesyuarat NDRC, ini adalah kes yang pertama dalam Malaysia dan saya rasa sejarah. Ia menunjukkan betapa seriusnya PFAM dalam menangani masalah tunggakan gaji.
"Jadi saya harapkan 6 April ini ada penanda aras yang baik dan peringatan yang keras buat mana-mana pasukan yang tidak membayar gaji.
"Untuk musim ini belum ada lagi (laporan tunggakan gaji pemain), saya berasa baik kalau tak ada. Tetapi khabar angin ada, namun saya belum menerima sebarang laporan rasmi," katanya.
Dia berkata demikian kepada media pada majlis berbuka puasa dan menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) bersama Skymatt Travel & Services Sdn Bhd untuk Program Kembara Umrah dan Ziarah PFAM, di sini semalam.
Mengulas lanjut, Safee berkata Program Kembara Umrah dan Ziarah PFAM adalah cetusan idea Farizal Marlias yang juga bendahari PFAM.
"Kami merasakan ini inisiatif yang baik selain daripada melihat aspek kebajikan pemain di atas padang, kita juga ingin memperjuangkan aspek kebajikan di luar padang," katanya.